KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang menyelar para pemimpin MCA yang menurut beliau menampilkan sifat kepura-puraan apabila mempertahankan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands dan Semenyih.
Penasihat DAP itu menyindir Presiden MCA yang didakwa telah memainkan peranan dengan baik kerana sebelum perhimpunan agung parti itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa Barisan Nasional (BN) sudah ketinggalan zaman dan harus dibubarkan.
Tetapi selepas Perhimpunan Agung MCA, Ka Siong disifatkan sebagai cepat menyesuaikan diri dengan menunjukkan beliau sangat selesa dengan peranan kurang penting parti itu dalam BN.
Kit Siang mengingatkan Ka Siong bahawa pemimpin nombor satu MCA itu boleh kehilangan deposit di kerusia Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu berdasarkan kenyataan Presiden Pas bahawa orang Islam mesti mengundi calon Islam.
“Adakah Wee (Ka Siong) menyedari hal ini apabila beliau semalam mempertahankan kerjasama politik antara parti komponen BN dan PAS sebagai ciri umum dalam politik Malaysia?” soal Kit Siang.
Pada PRU lalu, Ka Siong mendapat 17,076 undi menang tipis dengan 303 undi, mengalahkan calon Pakatan Harapan, Liew Chin Tong yang memperoleh 16,773 undi.
Manakala calon Pas, Mardi Marwan hanya menerima 4,975 undi.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menambah, jika pengundi Islam hanya mengundi calon Islam, sebagaimana pendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sudah tentu Ka Siong tidak akan mendapat sebarang undi pengundi Islam di Ayer Keroh, sekali gus kehilangan deposit.
Menyifatkan Ka Siong sebagai ‘pelajar yang lemah sejarah’, Kit Siang berkata, DAP tidak pernah bekerjasama dengan pemimpin Pas yang dianggap sebagai toksik dan jenama politik ganas, yang menyemai kecurigaan, ketidakpercayaan dan kebencian dalam kalangan kaum dan agama.
Katanya, Pas tidak membina sebuah negara tetapi memusnahkan struktur sosial di Malaysia.
“DAP tidak bekerjasama dengan Pas semasa membentuk Barisan Alternatif pada tahun 1999-2001 dan Pakatan Rakyat dari tahun 2009-2015,” ujar beliau.
Sebaliknya, kata beliau, DAP akan bekerjasama dengan Politik Islam yang mengiktiraf Malaysia sebagai masyarakat majmuk dan percaya bahawa kehebatan Malaysia daripada kekuaran aset dan kualiti terbaik daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan tamadun yang bertaut di Malaysia, membina toleransi, amanah dan keyakinan dalam kalangan kaum dan agama dan bukan dengan menimbulkan kecurigaan, ketidakpercayaan, ketakutan dan kebencian.
Kit Siang mendakwa kemungkinan Ka Siong dan para pemimpin MCA tidak boleh memahami bahawa politik yang mampan mesti berdasarkan prinsip, bukan pada opportunisme semata-mata. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan: