Home Politik Pas ulangi penegasan tolak pemimpin, parti tidak terima Islam

Pas ulangi penegasan tolak pemimpin, parti tidak terima Islam

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mengulangi keputusannya memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP tahun 2015 kerana parti cauvinis itu menunjukkan permusuhan terhadap Islam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diambil selepas Majlis Syura Ulamak membuat kajian berdasarkan perjuangan Pas yang berpandukan al-Quran dan Hadis.

“Pas membuat keputusan mengikut kajian Majlis Syura Ulamak dan pelaksanaannya oleh kepimpinan pusat berpandukan al-Quran dan Sunnah.

“Kita juga mendahulukan pendekatan bersama kumpulan Islam di pelbagai lapangan, politik dan lain-lain serta mengadakan tahaluf dan taawun dengan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam serta umatnya,” katanya dalam tulisannya yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Justeru, kata Ahli Parlimen Marang itu, Pas membatalkan hubungan dengan pihak yang menunjukkan permusuhan terhadap Islam dan mencabar kepimpinan Islam seperti DAP dan lain-lain.

Begitu juga katanya, pemimpin dan ahli Pas yang meninggalkan parti itu kerana meletakkan perjuangannya di atas konsep yang salah dan sesat serta tidak beristiqamah bersama Islam.

Katanya, mereka melarikan diri daripada perjuangan Islam dan menunjukkan sikap wala kepada pihak yang nyata bermusuh dengan Islam dan umatnya sehingga segala matlamat menghalalkan segala caranya semata-mata mahu cepat mendapat kuasa dan kedudukan.

“Nas-nas al-Quran, Hadis dan Ijmak para ulamak menegaskan bahawa hubungan tahaluf dan taawun bergantung kepada ijtihad yang boleh berubah hukum harus dan haramnya berdasarkan kepada situasi yang berubah serta sikap terhadap syarat-syaratnya yang dipatuhi atau tidak.

“Adapun haramnya berwala kepada bukan Islam adalah nas yang nyata yang tidak diizinkan berijtihad,” katanya.

Dengan itu, ujar beliau, lebih haram dan besar akibatnya melantik kepimpinan kerajaan yang berwala kepada negara asing yang sangat bermusuh terhadap Islam dan penganutnya serta mendukung falsafah politik pragmatik yang menenggelamkan Islam atau melemahkan kedudukannya. – MalaysiaGazette