Home Politik PSM sah tanding PRK Semenyih

PSM sah tanding PRK Semenyih

PSM dakwa rakyat perlukan suara ketiga wakili mereka.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada kerajaan menghentikan pembinaan stesen janakuasa bahan api fosil baharu yang akan membebankan rakyat dan negara.

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengesahkan akan meletak calonnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih 2 Mac ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan parti itu, keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat kali kedua Jawatankuasa Teknikal Pusat PSM, Selasa lalu.

Katanya, hasil mesyuarat itu, PSM mengambil keputusan sebulat suara untuk bertanding dalam PRK DUN Semenyih.

“PSM Cawangan Semenyih telah membuat keputusan untuk meletakkan calon dalam satu mesyuarat pada 24 Januari lalu dan dua hari selepas itu Jawatankuasa Pusat PSM mencapai keputusan sama, iaitu secara prinsip bersetuju meletakkan calon,” kata kenyataan yang disiarkan dalam web rasmi PSM, sosialis.net, hari ini.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lali akibat serangan jantung.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Februari ini hari penamaan calon, 26 Februari mengundi awal dan 2 Mac hari mengundi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu, calon PSM, Arul hanya mendapat 1,293 undi.

Allahyarham Bakhtiar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menang dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham mendapat 23,428 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abd Aziz yang mendapat 14,464 undi, manakala calon Pas, Mad Shahmiour Mat Kosim memperoleh 6,966 undi.

Menurut kenyataan itu lagi, PSM membuat keputusan itu setelah mengambilkira beberapa perkara seperti faktor sejarah, kerusi tradisi yang ditandingi parti itu, jenteranya di Semenyih, pandangan ahli dan penyokong parti.

Jelas kenyataan itu, kewibawaan calon yang menepati syarat parti dan suasana politik tanah air yang mahukan suara ketiga yang menepati kehausan kehendak rakyat juga turut diambil kira.

“Calon yang akan bertanding akan diumumkan sebelum hari penamaan calon pada 16 Februari ini dan PSM mengalu-alukan bantuan dari segi kewangan serta tenaga sukarela untuk memantapkan lagi jentera parti,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette