KUALA LUMPUR – Pas berjanji akan memberi sepenuh kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan RM90 juta dimasukkan dalam akaun pemimpin parti tersebut.
Parti berkenaan juga memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen sekiranya diminta oleh SPRM untuk tujuan siasatan termasuk penyata akaun-akaun bank Pas Pusat.
“Ia bagi membolehkan dakwaan bahawa Pas menerima RM90 juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata,” kata Setiausaha Agungnya dalam satu kenyataan.
Datuk Takiyuddin Hassan yakin SPRM sebagai sebuah entiti yang berintegriti akan menjalankan tugas dan tanggungjawab secara profestional dengan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah serta tanpa pilih kasih,
Dalam pada itu, katanya, Pas juga mengalu-alukan dan menggesa mana-mana pihak yang kononnya mempunyai maklumat tentang dakwaan tersebut, dengan penuh tanggungjawab dan integriti untuk menamakan secara terperinci.
“Berikan butiran lanjut mereka yang dikatakan menerima wang tersebut kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dibuat,” tegas beliau. – MalaysiaGazette