KUALA LUMPUR – Sebuah rakaman menunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa ‘naik angin’ tersebar menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.
Menerusi rakaman berdurasi 1.31 minit yang tular, Mujahid dilihat tidak senang dengan situasi ketika ini apabila namanya sering dikait dengan isu-isu remeh oleh pihak-pihak terentu untuk memperkecilkan imejnya.
“Ini pemikiran yang cukup bahaya. Nombor satu, tuan-tuan merendah-rendahkan saya. Saya ni orang Islam, saya daripada parti yang bawa Islam. Saya adalah yang disiplin daripada syariat Islam, saya adalah dari keturunan orang yang cintakan Islam.
“Kalau tuan-tuan kata macam itu saya ni tiadalah nilailah duduk dalam kerajaan. Bodoh sangatlah menteri agama ni, bangang sangat ke menteri agama ni, takde ilmu sangat ke menteri agama ni,” katanya berdasarkan audio rakaman itu.
Menurut Mujahid, pihak-pihak yang mencerca dirinya merupakan individu yang tidak mempunyai asas dalam membuat penilaian.
Tuduhan bahawa segala keputusan kerajaan mengikut telunjuk parti DAP juga dianggap mengarut, katanya.
“Dalam Kabinet, Tun Mahathir ada, Muhyiddin ada, Mat Sabu ada, saya ada, Khalid Samad ada, Dr Dzul ada, Dr Maszlee ada, Datuk Ridzuan ada, berapa ramai menteri Melayu ada, dia tengok seorang menteri tu jelah (Lim Guan Eng).
“Apa ni, orang Melayu macam tu ke tahap pemikiran dia,” ujarnya.
Mujahid turut menyifatkan orang Melayu yang mempunyai pemikiran demikian sebagai berada di tahap rendah.
Beliau kemudiannya menunjukkan kepada hadirin nota mengenai peruntukan yang diminta kepada kerajaan untuk memperkasakan Islam.
Difahamkan, video tersebut diambil dalam satu majlis yang diadakan di sebuah sekolah.
Bagaimanapun, tidak diketahui lokasi dan tarikh sebenar majlis itu berlangsung. – MalaysiaGazette