KUALA LUMPUR – Abang kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendapat kecaman warganet apabila dia dituduh menjadi punca pelakon Emma Maembong memilih untuk tidak lagi bertudung.
Syed Abdullah Syed Abdul Rahman diserang netizen menerusi laman sosialnya gara-gara keputusan Emma untuk membuka hijab dikhalayak.
Ada dalam kalangan warganet mengecam tindakan Emma dan ada juga yang berpendapat tindakan pelakon itu disebabkan pengaruh Syed Abdullah.
Bagaimanapun, Syed Abdullah tidak melatah sebaliknya melahirkan rasa syukur kerana ada pihak yang masih berfikiran positif berhubung perkara itu.
Malah, dia juga berterima kasih kepada pihak yang menegurnya secara baik.
“Apabila seribu komen mencari jalan untuk membawa anda jatuh ke bawah, satu komen mengingatkan anda bahawa ada wujud orang yang baik.
“Terima kasih atas teguran. Syed hargai komen ini,” katanya memblaas komen seorang pengikutnya.
Emma mengambil keputusan untuk tidak lagi berhijab ekoran kontroversi yang melanda dirinya baru-baru ini apabila gambar mesra tanpa tudung bersama seorang jejaka tular di media sosial.
Pelakon berusia 27 tahun itu turut mengakui, imannya belum kukuh dan membuat keputusan tersebut dengan berat hati.
Sebelum ini, Emma terpalit dengan kontroversi apabila gambar yang menunjukkan dirinya duduk di celah kangkang seorang jejaka tular di laman sosial.
Emma dalam pada itu menafikan keputusannya untuk bertudung sebelum ini adalah kerana mengusahakan perniagaan tudung. – MalaysiaGazette