SHAH ALAM – UMNO tidak mungkin dapat ‘ditalkin’ hanya semata-mata kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Sebaliknya, parti itu kini menjadi sebuah parti yang kuat dengan memiliki roh dan semangat yang baru, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Menurutnya, kemenangan Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan lalu jelas membuktikan bahawa parti itu sebenarnya disayangi rakyat.
“Inilah petanda rakyat menyayangi kita. Tak tahulah siapa yang ditalkinkan dahulu,” katanya sinis sambil mendapat sorakan hadirin yang menyaksikan siaran langsung program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di sini hari ini.
Terdahulu, moderator program berkenaan Tan Sri Johan Jaafar bertanyakan soalan sama ada UMNO sudah ditalkin seperti mana yang pernah diperkatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas tumbang daripada takhta kerajaan para PRU14.
Bagaimanapun, Mohamad menjawab soalan berkenaan secara sinis apabila memberitahu mungkin pihak lain yang akan ditalkin dahulu.
Sementara itu, Mohamad yang juga ADUN Rantau berkata, mengenai tanggunjawabnya menjalankan tugas Presiden parti pada masa ini, beliau selesa bekerja kerana semua pihak di dalam UMNO memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Insya Allah saya yakin kawan dalam UMNO sedar dan faham perjuangan ini perlu diteruskan. Saya tak boleh seorang-seorang, kebersamaan adalah penting.
“Ketenangan dalam UMNO telah dipertingkatkan tiada masalah teras defisit ia tiada lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette