KUALA LUMPOUR – Kumpulan syarikat di bawah CIMB-Principal Asset Management Group (CPAM Group) mencatat aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah RM81.3 bilion setakat 31 Dis, 2018.
Di Malaysia, CIMB-Principal Asset Management Bhd (CIMB-Principal Malaysia) pula terus mengekalkan kedudukannya sebagai antara peneraju firma pengurusan aset yang terkemuka.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB-Principal Malaysia, Munirah Khairuddin berkata : “Dana unit amanah kami yang memberi dividen tinggi bagi 2018 termasuk CIMB-Principal DALI Equity Growth, CIMB Islamic Balanced, CIMB-Principal Equity, CIMB-Principal Equity Growth & Income, CIMB-Principal Balanced dan CIMB-Principal Bond dengan pulangan sekitar 3.31 peratus hingga 7.98 peratus.”
Firma itu turut mengumumkan agihan dividen bagi 23 dananya yang berjumlah RM166.77 juta bagi suku keempat 2018.
Ia memiliki sejumlah 75 dana termasuk dana konvensional dan Islam selain dana dagangan bursa serta 10 dana persaraan persendirian.
CIMB-Principal Malaysia juga telah menerima pelbagai pengiktirafan berprestij seperti enam trofi di Anugerah Dana The Edge-Thomson Reuters Lipper 2018; anugerah Firma Dana Terbaik Tahun Ini Fundsupermart.com; anugerah Unit Dana Amanah Disyorkan 2018/2019 bagi enam dana serta Pengurus Kekayaan Terbaik di Malaysia menerusi Anugerah Perbankan Persendirian, Pengurusan Kekayaan dan Dana Dagangan Bursa (ETF) Triple A 2018.
Anugerah tersebut juga membuktikan kepakaran serta kecemerlangannya dalam aspek pengurusan aset.
CIMB-Principal Group terdiri daripada CIMB-Principal Malaysia dan CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd serta PT CIMB-Principal Asset Management (Indonesia); CIMB-Principal Asset Management Company Ltd (Thailand) dan CIMB-Principal Asset Management Pte Ltd (Singapura). – MalaysiaGazette