ALOR SETAR – Kebakaran di Gunung Baling, Baling semakin terkawal susulan operasi pemadaman hari ini, namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan pemantauan bagi mengelak api merebak ke Gunung Pulai yang terletak bersebelahan.
“Kita lihat api bergerak dalam satu jalur dan garisan panjang yang mungkin boleh merebak ke Gunung Pulai yang berada berhampiran dengan Gunung Baling, namun setakat ini kita berjaya mengawal api daripada marak.
“Kaedah ‘water bombing’ menggunakan helikopter MI-17 milik JBPM dilihat banyak membantu memadamkan kebakaran iaitu antara 8 hingga 11 pagi tadi sebanyak 14 beg ‘water bombing’ telah dilepaskan di kawasan kebakaran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, operasi pemadaman menggunakan helikopter hanya boleh dilakukan pada waktu pagi memandangkan keadaan angin kencang pada sebelah petang boleh mendatangkan risiko kepada helikopter.
Mohd Jamil berkata, operasi pemadaman pada sebelah petang dilakukan oleh anggota JBPM dan agensi penguat kuasa lain menggunakan beg berisi air bagi membantu memadamkan titik-titik kebakaran yang masih ada.
“Hari ini operasi berjalan lancar dan cuaca juga baik kerana awan banyak dan kalau malam ini hujan lebat saya rasa kawasan kecil yang masih terbakar boleh dipadamkan.
“Tetapi kita akan terus pantau dan tempatkan beberapa anggota daripada agensi penguat kuasa lain yang terlibat secara 24 jam di kawasan yang terdapat penduduk sebagai langkah berjaga-jaga. Esok, operasi akan bermula seawal 8 pagi dan mungkin jumlah keanggotaan juga akan ditambah,” katanya.
Katanya setakat petang ini keluasan kawasan kebakaran adalah sekitar 2.9 hektar.
Punca kebakaran itu yang bermula Rabu lalu belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian. – MalaysiaGazette