Home Nasional Menteri Besar N. Sembilan lapor polis, dakwa diri difitnah

Menteri Besar N. Sembilan lapor polis, dakwa diri difitnah

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

KUALA PILAH – Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Abd Aziz Jenthan’ yang didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Faiz Abdullah, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah, di sini kira-kira 1 tengah hari tadi.

Laporan ini dibuat bagi membersihkan nama menteri besar selain mahu pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyiasat individu terbabit, katanya kepada Bernama.

Faiz mendakwa individu terbabit membuat fitnah berdasarkan ucapan Aminuddin pada Kursus Profesionalisme Keguruan Sekolah Agama Rakyat Negeri Sembilan di Seremban, Rabu lepas.

Antara lain, Aminuddin didakwa membuat kenyataan beliau memeriksa semua surau dan masjid di Negeri Sembilan kosong tanpa jemaah, justeru tapak masjid harus diserahkan kepada DAP untuk dimanfaatkan.

Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui pemberita di sini menyifatkan individu berkenaan sebagai dangkal, tidak berilmu dan berniat jahat.

“Bila saya tegur, ada pula cakap saya datang masjid solat subuh pada 7.30 pagi. Solat subuh 6.07 pagi, saya rasa orang yang tular itupun tak tahu dia solat ke tidak sebab 7.30 pagi waktu (subuh) dah habis,” katanya.

— BERNAMA