Home Politik BN akan bincang isu pembubaran

BN akan bincang isu pembubaran

PETALING JAYA – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong telah menyampaikan hasrat untuk membincangkan isu pembubaran Barisan Nasional (BN) kepada pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ka Siong berkata, isu itu telah dibangkitkan dalam satu pertemuan dengan Mohamad yang diadakan pada 8 Januari lalu.

“Kami (MCA) menyatakan mahu parti-parti komponen membincangkan isu pembubaran BN dalam mesyuarat tertinggi akan datang.

“Suka atau tidak, kami perlu membincangkan perkara ini dan isu pembubaran bukan membabitkan MCA sahaja, tetapi ia perlu melibatkan perbincangan semua parti komponen,” katanya dipetik Sinchew Daily dalam wawancara bersama akhbar-akhbar Cina.

Ditanya sama ada kejayaan BN mengekalkan sokongan di Cameron Highlands akan memberi implikasi, Ka Siong berkata, keputusan akhir mengenai pembubaran adalah ditentukan ketiga-tiga parti komponen.

Ka Siong berkata, parti-parti pembangkang perlu mengekalkan kerjasama pada tahap tertentu, tetapi kerjasama itu tidak semestinya bermaksud berpakatan.

Menurutnya, wujud sentimen yang berbeza di negeri-negeri mengenai isu pembubaran BN.

“MCA sesetengah tempat langsung tidak bergaul dengan Melayu dan mereka tidak merasakan kepentingan rakan pakatan.

“Walau bagaimanapun, MCA di kawasan campuran mempunyai pandangan berbeza dan mereka melihat kepentingan saling menghormati,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Ka Siong berkata, MCA perlu memainkan peranan untuk memastikan kejayaan pembangkang.

“Kerjasama antara parti-parti pembangkang adalah perkara biasa di mana jua. MCA sedia bekerjasama jika parti pembangkang lain memerlukan sumber kami.

“Jika mereka percaya bahawa mereka dapat menjayakan sesuatu secara bersendirian dalam aspek tertentu, maka MCA juga tidak akan menawarkan diri untuk membantu,” katanya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberitahu bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan meletakkan calon dalam PRK Semenyih. – MalaysiaGazette