WASHINGTON – Susulan daripada pemeriksaan kesihatan tahunan yang dijalankan ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS) semalam, Presiden, Donald Trump disahkan berada dalam keadaan fizikal cukup sempurna.
Agensi melaporkan, Trump yang kini sudah mencecah usia 72 tahun sangat sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan secara umum apatah lag faktor usia semakin meningkat.
Pemeriksaan kesihatan tahunan yang dijalankan selama empat jam di Rumah Putih merupakan rutin dilakukan oleh pentadbiran AS.
Malah Trump sendiri akan melakukan pemeriksaan dua kali setahun bagi memastikan kariernya sebagai pemimpin nombor satu negara itu sentiasa berada dalam keadaan cukup baik untuk mentadbir negara ini.
Menurut Ketua Pasukan Perubatan, Sean Conley, pihaknya amat berpuas hati susulan pemeriksaan kesihatan oleh kumpulan doktor pakarnya.
Dalam satu kenyataan juga, Conley mendedahkan tahap kesihatan Trump sangat baik dan cergas dan mampu melakukan kerja beliau mentadbir dengan sangat berkesan serta tidak bermasalah.
“Dalam pemeriksaan yang dlakukan oleh pasukan kami selama empat jam, kami dapati Presiden Trump berada dalam keadaan baik sekali.
“Beliau mampu meneruskan tugas-tugasan beliau tanpa sebarang masalah langsung malah boleh terus mentabir sehingga penggalnya berakhir kerana tiada sebarang komplikasi. Semuanya baik sekali,” ujarnya. –MalaysiaGazette