PUTRAJAYA – Pemimpin kerajaan Pakatan Harapan yang dikaitkan dengan isu ijazah palsu perlu memberi penjelasan kepada masyarakat.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, isu tersebut perlu ditanya kepada mereka yang terlibat kerana beliau tidak tahu menahu tentang hal itu.
Namun menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, ijazah yang tidak memiliki akreditasi tidak menjadi masalah kerana sistem penilaian itu tidak digunapakai sebelum tahun 2005 dan ke bawah.
“Saya tidak tahu dan tanya orang yang terlibat. Perkara ini perlu diperjelaskan.
“Jika ijazah bukan akreditasi bukan masalah kerana tidak ada akreditasi sebelum tahun 2005 dan sebelumnya.
“Yang penting, orang yang diberi amanah memimpin memiliki sifat jujur dan sentiasa berusaha berusaha menjadi pemimpin yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Putrajaya Park Day 2019 di sini hari ini.
Khalid diminta mengulas isu kelayakan palsu yang melibatkan beberapa pemimpin PH seperti Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya, Menteri Besar Johor, Osman Sapian dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu serta Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, Paul Yong Choo Kiong. – MalaysiaGazette