Home Nasional Nga Kor Ming pertahan Yong

Nga Kor Ming pertahan Yong

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, perubahan prosedur pelantikan jawatan penting tersebut telah mencipta sejarah di negara ini.
Nga Kor Ming

TELUK INTAN – Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mempertahankan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang didakwa memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Akamai, Amerika Syarikat yang diragui.

Kata Nga, isu yang ditimbulkan oleh Presiden MCA disifatkan sebagai ketandusan idea politik kerana Yong yang juga bendahari parti itu sememangnya memperoleh MBA secara sah menerusi lulus peperiksaan, cumanya ketika itu universiti berkenaan belum mendapat pengiktirafan secara rasmi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Datuk Seri Wee Ka Siong bankrap idea dan sebab itulah dia ungkitkan perkara yang tidak benar. Dia patut minta maaf apabila mengeluarkan tohmahan mengatakan ahli exco itu miliki ijazah sarjana palsu.

“Kita tahu banyak universiti tersohor di dunia ini termasuk dari Taiwan dan China yang memang berkelayakan, tapi tidak ada pengiktirafan daripada MQA,” katanya kepada Bernama.

Nga yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang diadakan di perkarangan Menara Condong Teluk Intan di sini malam tadi.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, inisiatif menyambung belajar demi meningkatkan diri yang ditunjukkan Yong ketika itu sebagai ahli perniagaan sebelum beralih menjadi wakil rakyat adalah terpuji kerana beliau melakukannya ketika itu bukannya untuk kepentingan politik.

Sebelum ini, Yong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu antara beberapa nama pemimpin Pakatan Harapan terpalit isu dakwaan memiliki ijazah palsu.

— BERNAMA