Home Nasional Abdul Bari mati syahid – Mufti Wilayah

Abdul Bari mati syahid – Mufti Wilayah

Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd.

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, adalah antara mereka yang termasuk dalam golongan mati syahid.

Menurut beliau, ia bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW bahawa orang yang lemas adalah antara termasuk dalam kategori syahid.

“Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW: ‘Orang yang mati syahid ada lima kategori iaitu mati kerana wabak taun, mati kerana sakit berkaitan perut, mati lemas, mati dihempap runtuhan dan mati syahid ketika berperang di jalan Allah’,” katanya dalam catatan di laman Facebook semalam.

Malam Jumaat lalu, Abdul Bari Asyraf Mohd lemas ketika menyelamatkan lima sekeluarga di muara Sungai Terengganu, Kuala Terengganu.

Mayat Abdul Bari Asyraf ditemui anggota bomba dan penyelamat serta orang awam pada 7.23 pagi semalam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah, Kuala Terengganu, selepas Zuhur.

Zulkifli turut menyifatkan pengorbanan Allahyarham menyelamatkan mangsa insiden berkenaan adalah satu tindakan amat mulia dan dipandang tinggi dalam Islam.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdul Bari Asyraf atas pemergiannya.

“Sesungguhnya, pengorbanan Allahyarham menyelamatkan mangsa insiden berkenaan adalah amat mulia dan dengan izin-Nya termasuk dalam kategori syahid, Insya-Allah,” katanya.

Malah, Zulkifli berkata, akhlak terpuji Allahyarham itu wajar dijadikan contoh dan ikutan anak muda di negara ini.

“Allahyarham adalah anak muda yang wajar dijadikan contoh dengan akhlaknya yang terpuji. Kami mencadangkan supaya keluarganya dan penyelamat lain diberi anugerah yang setimpal dengan keberanian dan akhlak mereka yang disanjung tinggi.

“Alhamdulillah di sebalik musibah ini, Allah menyedarkan kepada kita bahawa Malaysia masih mempunyai ramai anak-anak muda yang berjiwa besar. Kita mendoakan semoga lebih ramai yang akan mencontohinya,” katanya. – MalaysiaGazette