Home Nasional Kementerian Pertahanan, Mat Sabu tidak taja RM4j kepada Dr Suwaibah

Kementerian Pertahanan, Mat Sabu tidak taja RM4j kepada Dr Suwaibah

Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan kementerian itu tidak pernah menaja kos sebanyak RM4 juta yang diperlukan pelari solo, Dr. Suwaibah Muhammad Nasir.

Dalam kenyataan di sini, Mohamad berkata, beliau hanya memberikan sokongan kepada usaha Dr. Suwaibah
untuk misi menawan 30 menara tertinggi di dunia dan bersedia menyokong usaha-usaha baik yang dilakukan oleh sesiapa sahaja.

“Adalah tidak adil kepada mana-mana atlet menuduh sokongan kepada Dr. Suwaibah sebagai berat sebelah sekiranya mereka sendiri tidak pernah cuba untuk bertemu dan mendapatkan sokongan Kementerian Pertahanan dan Menteri Pertahanan,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang atlet yang mewakili negara di peringkat dunia kecewa dengan sokongan diberikan menteri Kabinet itu kepada pelari wanita yang mencari dana sebanyak RM4 juta untuk melengkapkan acara Jelajah Kemanusiaan menakluk 30 menara tertinggi dunia.

Soh Wai Ching, 25, atlet yang berada di kedudukan ke-5 dunia dan pertama di Asia berdasarkan ranking Tower Running World Association (TWA) berpendapat sokongan diberikan menteri Kabinet itu sebagai berat sebelah.

Wai Ching mempersoalkan adakah sokongan itu diberikan kepada Dr Suwaibah kerana dia bekas anggota tentera dan didakwa mempunyai hubungan erat dan mendapat sokongan Menteri Pertahanan. – MalaysiaGazette