PETALING JAYA – Pemansuhan hukuman mati yang diusahakan kerajaan tidak mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan tertuduh kes itu, Sirul Azhar Umar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
“Tidak, tidak. Langsung tiada sebarang kaitan,” kata Vui Keong kepada Sinchew Dailu ketika mengulas tentang khabar angin yang mengaitkan pemansuhan hukuman mati dengan kes pembunuhan itu.
Sesetengah pihak berpendapat pemansuhan hukuman mati bertujuan membuka laluan kepada kerajaan untuk membawa pulang Sirul ke Malaysia.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh sebelum ini berkata, kerajaan Australia tidak akan membenarkan ekstradisi Sirul ke Malaysia selagi Kuala Lumpur tidak menghapuskan hukuman mati.
Mengulas lanjut, Vui Keong menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melakukan pusingan-U dalam soal pemansuhan hukuman mati.
Vui Keong juga memberitahu, Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang tidak menyokong usul pemansuhan hukuman mati akan dikenakan tindakan tatatertib.
“Malaysia perlu menjadi negara yang lebih baik dalam soal hak asasi manusia. Jika hukuman mati tidak dimansuhkan, maka kita secara tidak langsung telah menyokong pembunuhan seseorang.
“Jika anda bersetuju bahawa pembunuhan adalah sejenis kesalahan, maka anda juga harus menyokong usaha pemansuhan hukuman mati, walaupun orang yang dihukum gantung itu telah melakukan kesalahan besar,” katanya.
Beliau berkata, adalah lebih baik memenjarakan pesalah dan mengasingkan mereka daripada banduan biasa daripada menggantung mereka.
“Mereka dikunci dalam lokap hampir sepanjang masa kecuali dari pukul 7 pagi hingga 7.45 pagi dan dari pukul 5 hingga 5.45 petang.
“Dengan lain kata, banduan yang ditukar daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup sebenarnya tidak akan hidup senang. Mereka malahan akan hidup dalam keadaan menderita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Vui Keong berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan semula definisi dadah berbahaya.
Beliau berkata, kajian antaranya akan dilakukan untuk membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.
“Selama 40 tahun, anda akan dipenjarakan jika memiliki sejumlah ganja, walaupun ganja boleh digunakan untuk tujuan perubatan,” katanya. – MalaysiaGazette