Home Ekonomi SC kaji cadangan pacu industri modal teroka

SC kaji cadangan pacu industri modal teroka

Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang mengkaji cadangan oleh Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) untuk menggalakkan lagi pertumbuhan dan memacu sinergi yang lebih besar dalam industri modal teroka (venture capital atau VC) Malaysia.

Cadangan ini adalah berdasarkan kajian mendalam oleh ICMR, yang telah ditugaskan oleh SC sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memudahcarakan pengantaraan modal risiko dan meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi syarikat peringkat permulaan dan awal dalam pasaran modal Malaysia.

Laporan bebas ICMR menekankan perlunya intervensi kerajaan yang disasarkan untuk memangkin lebih banyak penyertaan sektor swasta, kerjasama yang lebih bersepadu dalam kalangan pihak kepentingan ekosistem VC dan penggunaan pemikiran peringkat global.

Sehubungan dengan ini, laporan tersebut memberikan lapan cadangan yang saling berkaitan untuk dipertimbangkan secara
menyeluruh:

  • Penstrukturan semula VC awam sedia ada agar lebih dipacu oleh komersial;
  • Penubuhan sebuah agensi kerajaan khusus untuk menghubungkan jurang pembiayaan kepada perniagaan pertumbuhan tinggi dan baharu;
  • Penubuhan dana fund-of-funds dengan elemen yang sepadan dan mekanisme insentif yang sesuai;
    –  Pewujudan platform tunggal bagi akses pasaran untuk membantu usahawan domestik menghadapi cabaran pembangunan;
  • Memudahkan pengembangan sektor hutang usahasama;
  • Liberalisasi lanjut insentif percukaian VC;
  • Pewujudan gerbang maklumat berpusat untuk membantu dalam penyelidikan, perumusan dasar dan pemprofilan industri; dan
  • Penubuhan majlis antara kementerian untuk menjamin keselarasan objektif di kementerian yang berbeza yang terlibat dalam ekosistem VC.

SC berkata, ia akan mengadakan pembabitan bersama pihak berkepentingan industri yang berkaitan secara langsung serta melalui Majlis Pembangunan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Malaysia (MVCDC), yang dipengerusikan oleh SC, mengenai pelaksanaan cadangan-cadangan ini.

Dalam menjalankan kajian ini, ICMR mengadakan rundingan bersama pelbagai peserta industri termasuk VC awam dan swasta, usahawan, pengendali pendanaan ekuiti ramai kepada pelabur korporat dan pelabur budiman (angel investor). – MalaysiaGazette