KUALA LUMPUR – Para pemimpin Pakatan Harapan diingatkan jangan sesekali ‘melacurkan’ bidang akademik demi menunjukkan kehebatan masing-masing di mata rakyat.
Tindakan itu terbukti bukan sahaja telah mencalarkan imej negara tetapi merosakkan nama baik Malaysia di peringkat dunia apabila siri pembongkaran tentang kelayakan akademik mereka turut dijaja oleh media asing.
Senario itu cukup menyedihkan kerana Pakatan Harapan (PH) yang dahulu bersungguh-sungguh mahu mempromosikan nilai-nilai telus, integriti dan berjanji melakukan lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional.
Namun, ternyata apa yang dijanjikan tidak dilakukan tetapi terpalit pula dengan skandal akademik.
Felo Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong mengakui, sebagai seorang ahli akademik beliau cukup sedih dengan situasi semasa.
Katanya, tidak terjangkau di fikiran ada dalam kalangan pemimpin sanggup menipu untuk mendapatkan kelayakan akademik ketika masih ramai lagi rakyat Malaysia yang sanggup bekerja keras sehingga berhutang demi mendapatkan segulung ijazah.
“Sudahlah tu, bukan seorang tetapi beberapa orang.
“Maaf saya cakap dalam bahasa kasar, jangan melacurkan bidang akademik. Bidang ini sangat mulia, sangat murni dan perlu dihormati.
“Jangan beri isyarat yang salah tentang ilmu, tentang bidang pendidikan
“Tetapi apa yang berlaku sekarang, bidang ini bukan lagi dinodai tetapi dilacurkan,” katanya di sini.
Menurtnya, pemimpin yang baik dan berintegriti tinggi tidak perlu berbohong untuk segulung ijazah.
Jika mereka mampu melaksanakan peranan, tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang diharapkan rakyat, itu adalah cukup memadai daripada membohong rakyat.
“Apakah nilai seorang pemimpin jika berbohong sekadar untuk mempamerkan kepintaran dan kebijaksana, hakikatnya apa yang ditonjolkan bukan tulen,” tambah Kok Seong lagi.
Lantaran itu, beliau berkata, perlu wujudkan satu badan pemantau untuk memastikan perkara seumpama ini tidak berulang pada masa depan.
“Pada saya ini perkara penting kerana bidang pendidikan bukan untuk dipersendakan,” tegasnya.
Isu kelayakan akademik dalam kalangan menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin kerajaan tercetus apabila Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya mendakwa memiliki ijazah dari University of Cambridge, di England.
Apabila ada pihak terus mempersoalkan kesahihan itu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu akhirnya mengakui menerima ijazah dari Cambridge International University yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Pengakuan beliau itu tidak berakhir di situ apabila banyak pihak mempertikaikan kredibiliti institusi yang disebutkan Marzuki.
Isu itu berjangkit pula kepada Menteri Besar Johor, Osman Sapian dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang didakwa tidak memiliki ijazah sebagaimana yang tertera di profil masing-masing semasa dilantik ke jawatan.
Turut terpalit Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Kelayakan akademik Zuraida menarik perhatian apabila profilnya menyebut beliau graduan National University of Singapore (NUS). Tetapi dinafikan oleh Zuraida dan menyalahkan Bernama.
Mohamad pula mengakui pernah menuntut di Institut Teknologi Mara bagaimanapun telah dibuang dari pusat pengajian itu.
Selain itu, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Akamai, Amerika Syarikat milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong juga diragui.
Beberapa hari lalu pula, kelayakan akauntan bertauliah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut dipertikaikan apabila didakwa menerima Ijazah Ekonomi dari Monash University pada tahun 1984 tetapi pengiktirafan akauntan bertauliah pada 1983. – MalaysiaGazette