KUALA LUMPUR – Rombongan pelancong tempatan tidak perlu guna perkhidmatan pemandu pelancong.
Itu gesaan Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia ekoran kadar bayaran perkhidmatan itu semakin tinggi sehingga pihaknya menerima tempiasnya.
Pengerusinya, Steven Chong berkata, akibat kadar bayaran pemandu pelancong yang semakin tinggi juga tambang bas persiaran terjejas terpaksa dikurangkan oleh agensi pelancongan.
“Untuk mempromosi Cuti-Cuti Malaysia kami berharap menteri bersetuju mengecualikan menggunakan panduan pemandu pelancong secara automatik untuk pelancong tempatan.
Ini akan mempengaruhi perniagaan agensi pelancong yang berlesen,” katanya kepada media ketika sidang media hari ini.
Walaupun telah menyuarakan perkara yang sama menerusi memorandum kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 17 dan 24 Disember tahun lalu namun tiada respon yang diberikan sehingga kini.
Senada dengan Steven, Presiden Gabungan Bas Catar dan Bas Sekolah, Mohd. Rofik Mohd Yusoff, menggesa agar akta berkaitan penggunaan pemandu pelancong digubal semula agar tidak menjejaskan industri bas.
“Kita hanya perlu ada tourist guide untuk pelancong luar negara. Rombongan Cik Kiah ke KLCC, tidak perlulah. Kenapa nak mohon kalau kita bawa orang sendiri (orang tempatan).
“Akta 20(1) setiap pengangkutan membawa pelancong perlu membawa pemandu kami setuju tapi hanya untuk pelancong,”tambah beliau.-Malaysia Gazette