Home Nasional Kes Sabariah halang PRK Semenyih didengar 19 Februari ini

Kes Sabariah halang PRK Semenyih didengar 19 Februari ini

Peguambela, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (tengah) bercakap kepada media selepas anak guamnya yang merupakan pengundi DUN Semenyih, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff (dua kiri) memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 19 Februari ini sebagai tarikh pendengaran kes saman pemula yang difailkan oleh seorang pengundi terhadap Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Peguamnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, permohonan anak guamnya, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff untuk menghalang Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih diadakan susulan SPR beroperasi secara tidak sah mengikut Perlembagaan.

“Pada 13 Februari lalu pihak plaintif telah memfailkan secara e-filing affidavit sokongan (II) yang diikrarkan oleh bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Bin Wan Omar, bekas Timbalan Pengerusi SPR.

“Dalam affidavit sokongan tersebut, Wan Ahmad telah mengikrarkan pengalaman 20 tahun beliau berkhidmat dengan SPR berkaitan cara SPR berfungsi dan menjalankan operasi pentadbirannya mengikut undang-undang.

“Afidavit berkenaan dalam perjalanan untuk diserah kepada kesemua defendan. Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan 19 Febuari 2019 jam 9 pagi untuk pendengaran kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin lalu, Sabariah melalui Tetuan Azam Aziz Shaharudinali memfailkan saman pemula kepada Azhar Azizan dan dua defendan lain, masing-masing SPR sendiri dan Peguam Negara.

Permohonan injuksi itu dibuat selepas SPR didakwa kini hanya dikendalikan oleh seorang ahli sahaja sejak 18 Januari lalu dan melanggar Fasal 114(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Othman Mahmood meletak jawatan sebagai timbalan pengerusi SPR tahun lepas, bersama-sama lima pesuruhjaya lain iaitu Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Leo Chong Cheong, dan K Bala Singam.

Kesemua enam individu itu akan menghadiri tribunal untuk menyiasat dakwaan salah laku membabitkan SPR sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sabariah mahu proses demokrasi dijalankan badan sah