Home Ekonomi MTEN: MITI boleh sumbang idea dasar ekonomi

MTEN: MITI boleh sumbang idea dasar ekonomi

Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) akan membolehkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyumbang idea mengenai dasar ekonomi negara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Menteri MITI Datuk Darrell Leiking turut mengganggotai majlis itu.

Ong berkata, penglibatan kementerian dalam MTEN akan menyumbang kepada tawaran pekerjaan yang lebih baik dalam negara khususnya untuk segmen kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Inilah bidang yang kerajaan ingin ingin tumpukan, mungkin (kita) tidak memberikan perhatian secukupnya dahulu,” katanya selepas bicara tengah hari anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di sini hari ini.

“Kami memikirkan B40 untuk setiap dasar yang diumumkan dan bagaimana untuk membantu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pekerjaan yang lebih baik,” kata Ong.

Beliau berkata, anggota MTEN terdiri daripada wakil kerajaan, cendekiawan dan pembuat dasar yang akan menyediakan input yang bernilai dan holistik terhadap dasar yang Malaysia perlukan.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Charon Wardini Mokhzani yang menyokong penubuhan MTEN berkata, penubuhan majlis berkenaan adalah baik untuk negara.

“Kami menyambut baik penubuhan majlis ekonomi ini.

“Saya berpendapat (perlu) lebih banyak perbincangan di peringkat tertinggi mengenai dasar ekonomi seperti yang dikatakan Ong,” kata Charon memaklumkan penglibatan menteri dan individu yang pakar dalam akademik, perniagaan dan pengalaman lain dalam MTEN adalah satu langkah bijak. – MalaysiaGazette