Home Utama Shabudin perlu jelaskan pendirian – Guan Eng

Shabudin perlu jelaskan pendirian – Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Menteri Pendidikan, Yb Dr. Maszlee Malik pada Majlis Penyerahan Cek kepada Sekolah Tahfiz Yang Berdaftar di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima penyertaan tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu akan dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu, perbincangan itu akan diadakan dalam masa terdekat menerusi semangat kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ditanya pendapat peribadinya tentang penyertaan itu, beliau tidak memberi jawapan sebaliknya berkata, keputusan telah dibuat oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri.

“Kita akan mengadakan mesyuarat lebih cepat namun bergantung kepada jadual ketat perdana menteri,” katanya.

Mengulas perasaannya menerima salah seorang ahli parlimen UMNO itu, Datuk Shabudin Yahaya sebagai sahabat, Guan Eng ingin mengetahui apa pendirian Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu pada hari ini.

Guan Eng pernah menggelar Shabudin sebagai ‘monster’ atau raksasa berhubung kenyataannya menyokong perkahwinan antara perogol dan mangsa untuk menutup kes rogol pada April tahun lalu.

Semalam, selain Shabudin, Mahathir mengumumkan penyertaan enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu.

Mereka ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Mereka menerima kad keahlian Bersatu bersama Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin yang diterima masuk lebih awal sebelum ini. – MalaysiaGazette