Home Politik DUN Semenyih mampu cipta kemenangan seperti Cameron Highlands

DUN Semenyih mampu cipta kemenangan seperti Cameron Highlands

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) tampak yakin merampas semula kerusi dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dengan meletakkan calon dalam kalangan anak tempatan pada Pilihan Raya Kecil 2 Mac ini.

Dengan mempertaruhkan bekas Pegawai Tadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zakaria Hanafi, 58, dipilih mewakili BN selepas proses saringan seramai enam orang dilakukan sebelum ini.

Menurut Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis di Bilik Gerakan BN, di Plaza Dato’ Mohd. Said, Semenyih, pihaknya yakin kejayaan besar di Cameron Highlands mampu dicapai di Semenyih.

Jelas Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, pemilihan Zakaria adalah berdasarkan kriteria calon mestilah anak tempatan dan mesra rakyat.

“Kita dapat beberapa pencalonan nama dari pelbagai pihak termasuk UMNO, NGO, orang perseorangan sehingga ada berkelayakan hingga peringkat PHD dan sebagainya.

“Tapi pemilihan untuk DUN dan Parlimen ini lain caranya. Untuk DUN, tak memerlukan sijil berjela-jela, tetapi orang yang sentiasa boleh bersama rakyat.

“Untuk Parlimen lain, kita perlu berbahas dan perlu ada gubal dasar serta undang-undang. Untuk DUN, ianya lebih dekat dengan masyarakat setempat dan itulah yang kita lakukan. Kita pilih calon dalam kalangan tempatan.

“Selepas penilaian dan pertimbangan, kami memilih Zakaria yang diharap dapat membawa suara rakyat ke DUN Selangor,” katanya.

Zakaria yang kini merupakan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kg Sesapan Kelubi, juga merupakan bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Langat.

Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan dari universiti yang sama.

Jelas Mohamad, pihaknya cukup tersentuh dengan sikap keterbukaan Pas yang sekali lagi memberi laluan dan sudi berkerjasama dengan UMNO serta BN untuk PRK Semenyih.

“Kita cukup bertuah dan berterima kasih kerana Pas sekali memberi laluan kepada kita, tidak ada persaingan tiga penjuru yang besar perlu kita hadapi kali ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika bercakap tentang Zakaria, beliau melahirkan rasa yakin walaupun mengakui saingan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukan mudah.

“Bersatu juga adalah parti Perdana Menteri, sudah tentu mereka akan gerakan jentera mereka dengan begitu besar sekali.

“Ini bukan mudah tetapi pada masa yang sama, kita tidak perlu perkecilkan diri kita, kita tidak perlu gentar dengan gergasi luar sana.

“Zakaria merupakan calon yang begitu dekat dan tidak kekok dengan masyarakat setempat, itu juga adalah kelebihan kita. Beliau sudah biasa dengan kawasan ini, sudah tinggal sekian lama, berkeluaraga di sini.

“Kita tidak takut, Saya tidak mahu memberi komen tentang calon lawan kerana tidak mengenalinya, yang saya tahu calon kita juga tidak ada tolok banding dan kita akan bekerja keras sama seperti Cameron Highlands sebelum ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette