KUALA LUMPUR – Pelakon, Lana Nodin meluahkan rasa syukur apabila anak keduanya, William Daud McKienzie atau Billy selamat menjalani pembedahan akibat masalah injap jantung sempit (aortic stenosis) di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.
Lana, 40, menerusi Insta Storynya menangis teresak-esak akibat gagal mengawal emosi apabila diberitahu doktor anaknya yang baharu berusia dua bulan itu selamat menjalani pembedahan tanpa komplikasi jantung.
“Alhamdulillah, anak saya selamat dan tiada komplikasi lain. Terima kasih semua yang prihatin, anak saya selamat kerana doa-doa kalian.
“Pembedahan dilakukan dalam tempoh kurang sejam. Bagaimanapun sebelum pembedahan doktor memberitahu terdapat risiko yang sama untuk jantungnya terhenti ketika pembedahan seperti mana percubaan kali pertama sebelum ini.
“Namun, doktor kata anak saya kuat dan dia selamat. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang tidak henti memberi sokongan kepada saya,” ujar Lana.
William menjalani pembedahan pada pukul 4.20 petang semalam terus diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum ditukarkan ke wad biasa hari ini.
Terdahulu, Lana berdepan detik cemas apabila jantung William terhenti selama 10 minit sebelum prosedur pembedahan dilakukan.
Untuk rekod, Lana melahirkn anak keduanya itu pada 26 Disember lalu di Pusat Perubatan Rampai Puteri, SetapakĀ -MalaysiaGazette