Home Utama Calon BN Semenyih ada ijazah asli, kata Najib

Calon BN Semenyih ada ijazah asli, kata Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi ketika singgah untuk makan tengah hari di Gerai Asam Pedas Klebang Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Secara berseloroh, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak perlu risau kerana Barisan Nasional (BN) mengemukakan calon yang ada ijazah asli.

Justeru itu, rakyat Semenyih tidak perlu sangsi dengan Zakaria Hanafi, calon anak tempatan itu kerana diyakini tidak akan menipu rakyat sekiranya diberikan mandat.

“Saya difahamkan, beliau (Zakaria) juga juara pidato UKM, bukan calang-calang orang, boleh bersyarah dengan cukup meyakinkan dan punya ijazah asli,” katanya ketika ditemui wartawan selepas makan tengahari di gerai makan di Semenyih.

MGF15022019_Najib Makan Tengah Hari Asam Pedas Klebang_06
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan tanda sokongan kepada calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi ketika singgah untuk makan tengah hari di Gerai Asam Pedas Klebang Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 FEBRUARI 2019

Najib sebelum itu menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Muda Musa hari ini.

Ini kali kedua bekas Presiden UMNO itu turun ke Semenyih sempena PRK kawasan itu yang akan bermula dengan penamaan calon, esok.

Najib turut menyifatkan Zakaria sebagai calon terbaik kerana mempunyai banyak pengalaman dan disenangi oleh rakyat.

“Saya yakin boleh jadi wakil rakyat yang disenangi semua pengundi di sini,” katanya lagi.

BN semalam menamakan Zakaria sebagai calon PRK Semenyih menentang calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali.

Zakaria memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan adalah merupakan bekas Penolong Pegawai Tadbir Universiti Kebangsaan Malaysia. -MalaysiaGazette