KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad di pejabat Perdana Menteri itu di Yayasan Al-Bukhari pagi ini.
Malaysiakini melaporkan, Pejabat Perdana Menteri memberitahu portal itu, Abdul Hadi tiba di pejabat tersebut kira-kira jam 9 pagi dan kedua-dua tokoh berkenaan mengadakan pertemuan selama 45 minit.
Bagaimanapun, setakat ini butiran pertemuan berkenaan belum dapat disahkan.
Menurut sumber, pertemuan itu berlangsung berikutan permohonan daripada Abdul Hadi.
Ia adalah pertemuan kedua membabitkan Mahathir dengan Abdul Hadi sejak beliau menjadi perdana menteri kali kedua Mei tahun lalu.
Pertemuan pertama berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Ketika itu Dr. Mahathir bertemu Abdul Hadi yang datang bersama Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan veteran Pas, Mustafa Ali.
Secara kebetulan pertemuan hari ini berlangsung ketika Pakatan harapan (PH) dan pembangkang bersiap sedia memulakan kempen secara rasmi bagi pertandingan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.
Menurut sumber, turut bersama dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahmad Samsuri.
Untuk rekod Takiyuddin dan Ahmad Samsuri boleh dianggap antara orang kepercayaan Abdul Hadi.
Menteri Besar Terengganu itu pernah menjadi Setiausaha Politik Abdul Hadi dan diletakkan bertanding dalam PRU 14 di kerusi yang selamat, iaitu DUN Rhu Rendang di Terengganu.
Kerusi DUN berkenaan sebelum ini diwakili Abdul Hadi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: