SEMENYIH – Biarpun belum sampai tempoh berkempen, namun Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin sudah dilihat memulakan kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Turun bagi merasmikan jentera dan bilik gerakan utama pemuda Pakatan Harapan (PH) di Semenyih, Azmin berkata, pengundi kawasan ini tidak harus termakan dengan kempen murahan individu tertentu yang hanya mahu meraih simpati.
“Yang datang tolak troli, nak dapatkan simpati ini nak buat apa.
“Mana seorang lagi. Saya tidak sebut nama.
“Mana troli yang penuh tu tolak dua orang, semalam kesian sorang-sorang tolak troli,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sambil disambut ketawa dan tepukan penyokong PH.
Tanpa menyebut nama, ramai yang pastinya memikirkan akan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turun ke Semenyih semalam.
“Wahai Bossku, saya ada di Semenyih. Setiap hari di sini. Saya solat di Masjid Raja Muda Musa, saya tunggu kalau dia nak sembahyang jemaah dengan saya.
“Dia tolak troli, saya pergi masjid. Apa masalahnya,” katanya lagi.
Perang mulut antara Najib dan Azmin bermula apabila Ahli Parlimen Gombak itu menolak gelaran ‘bossku’ yang digunakan terhadap Najib sebaliknya menggelar beliau sebagai ‘pencuri ku’.
“Bagi saya dia bukan ‘bossku’ tapi ‘pencuri ku’,” kata Azmin ketika pelancaran Bilik Gerakan Wanita Pakatan Harapan (PH) di Semenyih.
Najib pula membidas kenyataan itu dengan berkata, beliau bukan pencuri tapi “pencuri hati rakyat”. – MalaysiaGazette