Home Utama KWSP umum 6.15% untuk simpanan konvensional, 5.90% simpanan Syariah

KWSP umum 6.15% untuk simpanan konvensional, 5.90% simpanan Syariah

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk simpanan Konvensional 2018 dan 5.90 peratus bagi simpanan Syariah.

Ia membabitkan agihan sebanyak RM43 bilion untuk simpanan konvensional dan 5.90 untuk simpanan Syariah.

Jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM47.31 bilion, turun 1.70% berbanding 2017.

Dengan purata kadar dividen sebenar bagi tiga tahun berturut-turut sebanyak 3.93peratus melebihi kadar inflasi untuk simpanan konvensional dan 3.68 peratus dan untuk Simpanan Shariah, KWSP telah menjangkaui mandatnya untuk mengisytiharkan 2.50 peratus dividen setiap tahun dan tidak kurang daripada 2 peratus bagi dividen sebenar untuk purata tiga tahun.

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, selain dividen nominal,adalah menjadi keutamaan KWSP untuk memberikan pulangan melebihi kadar inflasi secara konsisten agar kami dapat mengekalkan dan meningkatkan nilai simpanan ahli dalam jangka panjang serta membantu mereka mencapai masa depan persaraan yang lebih baik.

“Ini masih dapat direalisasikan meskipun tahun 2018 merupakan tahun yang sukar dan didominasi oleh ketidaktentuan dan trend penurunan pasaran global yang dicetus oleh perang perdagangan AS-China serta empat kitaran kenaikan kadar faedah AS dalam satu tahun yang sama.

“Walau bagaimanapun, kami tetap fokus kepada strategi jangka panjang dan kepelbagaian portfolio yang telah memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Pendapatan pelaburan kasar untuk 2018 adalah sebanyak RM50.88 bilion, yang mana RM4.62 bilion dijana bagi simpanan Syariah, berkadar dengan bahagiannya daripada keseluruhan jumlah aset Syariah manakala RM46.26 bilion dijana bagi simpanan lonvensional.

Penurunan pendapatan portfolio Syariah KWSP pada 2018 adalah disebabkan oleh prestasi kurang memberangsangkan untuk sektor telekomunikasi, pembinaan dan minyak dan gas dalam portfolio domestik.

Pengagihan dividen untuk setiap akaun diperolehi daripada jumlah pendapatan nyata untuk tahun 2018 selepas ditolak rosot nilai bersih ke atas aset kewangan, keuntungan atau kerugian tidak nyata daripada transaksi antara subsidiari/syarikat bersekutu, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen atas pengeluaran.

Jumlah yang perlu diagihkan untuk setiap 1.00% kadar dividen 2018 adalah RM7.72 bilion, lebih tinggi berbanding RM7.02 bilion pada tahun 2017.

Selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) yang telah berkuatkuasa 1 Januari 2018, keuntungan modal atas pelupusan ekuiti berjumlah RM18.21 bilion untuk tahun 2018 akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada Penyata Pendapatan Komprehensif Lain dan bukan kepada Penyata Untung Rugi seperti amalan MFRS 139 sebelumnya.

Tambahan lagi, di bawah MFRS9, KWSP tidak lagi akan mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya.

Jika dibandingkan dengan peningkatan trend pasaran pada tahun 2017, Samsudin berkata, perbezaan ketara dapat disaksikan pada tahun kewangan 2018 di mana kesemua indeks saham mencatatkan pulangan negatif.

Indeks FBMKLCI mencatatkan kejatuhan enam 6.00%, manakala indeks ekuiti pasaran sedunia jatuh sekitar 9.00% sehingga 16%.

Dalam tahun yang dikaji, ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan pada 57.55% sebanyak RM29.28 bilion, walaupun mengalami penurunan sebanyak 6.96%, berbanding RM31.47 bilion pada 2017.

Kelas aset ini terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan pulangan keseluruhan portfolio pelaburan KWSP.

Pelaburan KWSP dalam instrumen pendapatan tetap, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf dan Bon & Pinjaman, secara keseluruhannya menyumbang 36.13%, atau RM18.38 bilion, daripada RM50.88 bilion pendapatan pelaburan untuk tahun yang dikaji.

Bon dan pinjaman terus menyumbang pendapatan yang stabil melalui penerimaan bayaran kupon berjadual, walaupun keuntungan modal daripada kelas aset ini menurun akibat kenaikan kadar pulangan pasaran berikutan keadaan pasaran yang tidak menentu.

Hartanah & Infrastruktur menyumbang RM2.10 bilion kepada pendapatan pelaburan pada 2018, jatuh 29.29% berbanding 2017, manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang RM1.12 bilion pendapatan pelaburan dalam 2018.
Pulangan atas pelaburan (ROI) bagi kelas aset Hartanah dan Infrastruktur dicatat lebih rendah berikutan pencapaian pada tahun 2017 yang didorong oleh transaksi yang unik kepada tahun tersebut.

Kelas aset ini menyumbang lebih 8 peratus setiap tahun sejak lima tahun yang lepas, iaitu premium sebanyak 3.29 peratus berbanding instrumen pendapatan tetap.

Pelaburan luar negara yang merangkumi pelbagai kelas aset menyumbang 37.52 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP, lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan kejatuhan harga ekuiti sedunia dan serantau serta ketidaktentuan pertukaran matawang asing.

Walau bagaimanapun, pelaburan luar negara pada tahun 2018 bertindak sebagai penambah nilai kepada keseluruhan portfolio KWSP serta mengurangkan impak akibat ketidaktentuan yang dialami oleh beberapa pasaran sepanjang tahun tersebut.

KWSP kekal mengamalkan perbelanjaan yang berhemat dan ini dibuktikan oleh nisbah kewangan utamanya yang sentiasa konsisten, termasuk kos kepada aset di bawah pengurusan sebanyak 0.27 peratus, kos kepada pendapatan kasar pada 4.24 peratus dan kos kepada jumlah aset pada 0.17 peratus.

Mengulas mengenai prospek pelaburan, Samsudin berkata, “Ketidaktentuan dalam pasaran global mungkin akan berterusan berikutan perang dagang AS-China.

“Kami juga bersiap sedia untuk menghadapi faktor luaran yang lain seperti Brexit, kelembapan pertumbuhan ekonomi global dan kenaikan kadar faedah AS.

“Bagaimanapun, kami kekal komited terhadap strategi diversifikasi global jangka panjang dengan berpandukan Alokasi Aset Strategik. Strategi ini terbukti berkesan terutamanya semasa pasaran yang tidak menentu, sekaligus melengkapkan kami dengan keupayaan untuk mengatasi sebarang ketidakstabilan jangka masa pendek,” ujarnya.

Ahli boleh menyemak penyata akaun KWSP untuk pengkreditan dividen 2018 bermula Ahad, 17 Februari 2019, melalui i-Akaun atau laman web myEPF di www.kwsp.gov.my. Aplikasi mudah alih i-Akaun boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store. – MalaysiaGazette