Home Nasional Negara mundur jika perpaduan terjejas – Wan Azizah

Negara mundur jika perpaduan terjejas – Wan Azizah

Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli (kiri) serta yang lain selepas menerima sayur tuah (Cai Qiang) pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 di Padang Taman Muda, Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 FEBRUARI 2019.

PANDAN INDAH – Kemajuan negara bukan sahaja diukur daripada kepesatan pembangunan ekonominya bahkan aspek perpaduan antara rakyat yang berbilang bangsa juga menjadi faktor penting untuk mencapai status negara maju.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sekiranya perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama tidak dipelihara, ia boleh menyebabkan negara mundur dan ketinggalan.

“Kita merasakan kemesraan antara kita satu sama lain kerana negara kita ini unik, kita berbilang bangsa, berbilang agama dan ini mesti kita pelihara, perkukuh dan perkuatkan.

“Kalau kita berpecah belah, kita bergaduh antara satu sama lain, menimbulkan kemarahan antara kita dengan kaum lain, ini adalah satu kemunduran untuk negara kita,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan di Padang Taman Muda, di sini, malam ini.

Hadir sama bekas Ahli Parlimen Pandan yang juga Ketua Cabang PKR Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Izham Hashim.

Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 di Padang Taman Muda, Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 16 FEBRUARI 2019.

Wan Azizah juga mahu program seumpama itu diadakan setiap tahun di semua peringkat masyarakat agar mereka dapat berinterakasi serta menjalinkan hubungan erat demi perpaduan dan kesejahteran bersama.

“Apa yang penting, budaya hormat-menghormati yang menjadi teras perpaduan seluruh rakyat selama ini perlu dipertahan dan diperkukuhkan serta menjadi contoh kepada generasi akan datang,” katanya.

Katanya lagi, budaya kunjung-mengunjung antara pelbagai kaum ini dan jiran tetangga masih dikekalkan sehingga ke hari ini sebagai berkongsi kegembiraan perayaan.

“Ini membuktikan bahawa integrasi kaum di negara ini cukup erat serta utuh. Ini adalah kekuatan dan kebanggaan kita, rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette