Home Nasional Polis buru suspek samun wanita dalam lif MRT

Polis buru suspek samun wanita dalam lif MRT

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian menyamun seorang penumpang MRT di ibu negara dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata kejadian berlaku sekitar pukul 6.45 pagi 14 Februari lalu.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku di awal pagi di stesen Mass Rail Transit (MRT) Taman Mutiara Cheras semasa mangsa wanita itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Semasa kejadian mangsa disamun dalam lif Stesen MRT itu oleh suspek,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp sebentar tadi.

Ekoran kejadian itu, katanya polis telah melancarkan operasi memburu suspek tanpa mendedahkan umur suspek itu.

“Setakat ini keterangan tiga saksi telah diambil polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Mangsa wanita cedera bengkak di dahi dan kesakitan di badan mendapat rawatan di hospital sebagai pesakit luar.

“Mangsa mengalami kerugian wang tunai RM400 dan Kad Pengenalan serta kad bank dilarikan suspek,” tegasnya. – MalaysiaGazette