Home Utama Tak tahu kenapa Putera Mahkota Arab Saudi tangguh lawatan

Tak tahu kenapa Putera Mahkota Arab Saudi tangguh lawatan

Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kiri) diiringi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (dua kiri) mendengar penerangan ketika melihat pameran pada Pesta Demokrasi FORSEA Kuala Lumpur di The Square Publika, Sri Hartamas, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman ke negara ini yang dijadualkan esok telah ditangguhkan.

Namun Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Malaysia tidak dimaklumkan mengenai alasan penangguhan itu.

“Saya tidak tahu sebab apa, cuma dia beritahu dia tidak hadir, itu sahaja maklumat saya dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucap utama sempena Pesta Demokrasi Kuala Lumpur 2019 anjuran Gerakan Pembaharuan Untuk Asia Tenggara (FORSEA) di di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Sebelum ini, menurut Wisma Putra, Menteri Luar Saifuddin Abdullah telah menghubungi rakan sejawatannya dari Arab Saudi, Adel al Jubeir mengenai penangguhan lawatan itu.

Agensi berita asing melaporkan Mohammed yang merupakan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan Arab Saudi sedang dalam rangka lawatan ke beberapa negara Asia bermula dengan lawatan ke Pakistan minggu ini.

Menurut laporan itu, dari Islamabad, Putera Mahkota Arab Saudi itu dijadual tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk lawatan rasmi selama dua hari sebelum meneruskan lawatan ke Indonesia pada Isnin dan selepas itu ke India.

Lawatan Mohammed ke Malaysia adalah yang pertama selepas beliau dilantik sebagai Putera Mahkota Arab Saudi pada Jun 2017. – MalaysiaGazette