Home Utama Tarik subsidi jemaah rayuan dan pengiring, rakyat tolak dasar baharu TH

Tarik subsidi jemaah rayuan dan pengiring, rakyat tolak dasar baharu TH

Temubual bersama orang awam, Rodziah Kassim, 66 mengenai dasar baru Tabung Haji di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) baru-baru ini dilaporkan membuat ketetapan baharu tentang pemberian subsidi kepada pengiring dan jemaah rayuan.

Pengiring jemaah haji yang menunaikan ibadah itu lebih awal daripada tahun peruntukan tidak layak menerima subsidi haji seperti yang dilakukan sebelum ini.

Ini sekaligus akan mengakibatkan pengiring dan jemaah rayuan perlu membayar kos penuh sebanyak RM22,900.

MalaysiaGazette yang membuat tinjauan orang ramai berhubung keputusan kerajaan itu mendapati rata-rata orang awam memberikan respon yang negatif dan menolak polisi baharu tersebut.

Menurut Rodziah Kassim, 66 keputusan terkini kerajaan itu tidak mencerminkan pendirian yang diperjuangkan sebelum ini iaitu mahu menjaga dan prihatin kepada rakyat.

Tambahnya, sememangnya keperluan menunaikan ibadah haji adalah berkemampuan namun ia tidak patut disamakan dengan golongan pengiring dan yang mendapat giliran menerusi rayuan.

“Bila nak pergi haji memang kena berkemampuan tapi bukan semua yang mampu dari aspek pengiringnya jadi elok yang lama.

“Nilai baliklah keputusan yang dibuat ni, sebab dulu mereka kata nak bantu rakyat sekarang bantulah, apa yang mereka cakap dulu kita nak begitulah,” katanya ketika ditemui di ibu kota.

MGF16022019_TEMUBUAL ORANG AWAM TABUNG HAJI02
Temubual bersama orang awam, Zawiah Abdullah, 45 mengenai dasar baru Tabung Haji di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 FEBRUARI 2019.

Pendapat Rodziah kemudian disambut oleh Zawiah Abdullah, 45.

“Kalau kakak, kakak suka yang dulu yang ada subsidi ringanlah sedikit, nak harapkan (duit) sendiri sampai bila pun susahlah.

“Kalau macam kakak, ibu tunggal, nak tanggung anak misalnya (jadi pengiring) subsidi itu pentinglah,” katanya.

Penarikan semula subsidi walaupun tidak melibatkan jemaah haji yang utama menunggu giliran namun menurut Mohd Shahizam Che Hamzah, 56, adalah tidak adil dan menimbulkan kecurigaan.

MGF16022019_TEMUBUAL ORANG AWAM TABUNG HAJI06
Temubual bersama orang awam, Mohd Shahizam Che Hamzah, 56 mengenai dasar baru Tabung Haji di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 FEBRUARI 2019.

Jelasnya ini kerana sebelum ini semasa pentadbiran kerajaan yang terdahulu, pemberian subsidi tanpa mengira kategori tidak menjadi halangan namun ia berbeza sekarang.

“Kalau dulu ada kenapa sekarang tiada? Biarlah ia diteruskan memang ia untuk membantu ada yang dapat tapi susah.

“Kalau di kampung, orang kampung yang jadi pengiring tapi tidak mampu.

“Isteri saya, keluarga saya semua pergi dengan subsidi. Sekarang tiada duit pula,” ujarnya.

Bagi Ismail Ahmad, 46, polisi baharu ini memperlihatkan kerajaan persekutuan tidak prihatin terhadap golongan Melayu Islam yang menjadi penduduk majoriti dalam negara.

MGF16022019_TEMUBUAL ORANG AWAM TABUNG HAJI01
Temubual bersama orang awam, Ismail Ahmad, 46 mengenai dasar baru Tabung Haji di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 FEBRUARI 2019.

“Majoriti di Malaysia banyak yang beragama Islam, Melayu. Kebanyakan yang nak pergi haji masuk (menyimpan) di Tabung Haji dulu,” katanya.

Raja Shahrizal Raha Shahril, 43 yang tidak mahu menyalahkan kerajaan sepenuhnya, sebaliknya menggesa kerajaan menilai semula ketetapan baharu ini.

MGF16022019_TEMUBUAL ORANG AWAM TABUNG HAJI03
Temubual bersama orang awam, Raja Shahrizal Raja Shahril, 43 mengenai dasar baru Tabung Haji di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 FEBRUARI 2019.

“Nak salahkan kerajaan tidak salah juga, sebab mereka berfikir, mungkin (sebab) mereka baharu, kena nilai kembali (keputusan itu),” katanya.

Khamis yang lalu Tabung Haji membuat pengumuman berkenaan subsidi kepada pengiring ini menerusi Facebook.

Keputusan ini ditentang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji mempertimbangkan semula dasar berkenaan kerana rata-rata pengiring jemaah haji bukanlah daripada kalangan orang berada.-MalaysiaGazette