SEMENYIH – Baru hari kedua nampaknya, jadual kempen Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nampaknya kucar-kacir.
Ini kerana calon, Muhammad Aiman Zainali didakwa bergerak tidak mengikut jadual yang telah disusun.
Perkara itu dilihat menyusahkan banyak pihak terutama wakil media yang membuat liputan dan terpaksa berkejar-kejar dari satu tempat ke lokasi yang lain.
Malah, ada juga jentera parti itu sendiri yang tidak berpuas hati dengan perkara tersebut ekoran telah menghabiskan masa terlalu lama untuk menunggu calon yang sepatutnya hadir ke program mengikut jadual yang tercatat dalam usaha membantu kempennya.
Sebagai contoh, Muhammad Aiman Zainali sepatutnya dijadual melakukan walkabout ketiganya di pasaraya Tesco di sini selepas awal pagi tadi beliau membuat perkara sama di pasar harian di pekan Semenyih dan Beranang.
Bagaimanapun, kelibatnya tidak muncul-muncul selepas satu jam membuatkan ada dalam kalangan media dan juga jentera kempen calon itu sendiri merungut.
“Kami ini sendiri pun miscommunication dengan jentera yang bergerak membawa calon.
“Kami dah lama menunggu di sini dan sepatutnya dia (Aiman) sudah sampai,” kata seorang jentera PH yang hanya mahu dikenali sebagai Wan kepada media di sini.
Menurutnya, dia dimaklumkan calon PH telah datang melakukan walkabout lebih awal di pasar pagi bersebelahan pasar raya besar tersebut.
Katanya, situasi itu telah menyebabkan pasukan jenteranya yang datang dari Perak berasa kecewa kerana masa mereka seolah-olah tidak dihargai oleh pihak bertanggungjawab.
Terdahulu, Wan dilihat menghubungi seseorang menerusi telefon bimbitnya bagi mengetahui kedudukan calon yang sepatutnya telah hadir ke pasar raya besar berkenaan.
Dia kemudiannya, bertemu dengan sekumpulan media yang turut menunggu di pasar raya besar itu bagi memaklumkan perkara tersebut. – MalaysiaGazette
tanda² pH nak menempah kekalahan . cara sabotaj oleh orang sendiri.