SEMENYIH – Isu pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menggangu kerjasama antara UMNO dan Pas.
Calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi berkata, sehingga kini, Pas masih menggerakkan jentera masing-masing bagi membantu kemenangan BN dan isu pertemuan itu tidak merencatkan kerjasama mereka.
Zakaria juga berpendapat, pertemuan itu sebenarnya lebih kepada ‘peribadi’ dan tidak sepatutnya mana-mana pihak selain daripada Mahathir dan Hadi sendiri memberi penjelasan.
“Jentera kita (UMNO-BN) dengan Pas tidak ada masalah. Masing-masing bergerak berkempen tanpa sebarang masalah. Setahu saya, jentera Pas sememangnya masih lagi menolong kita. Tidak ada sebarang percanggahan juga.
“Seperti perbincangan peringkat pusat dan negeri, semua tugasan yang telah diberikan sedang berjalan seperti biasa, tidak ada sebarang perubahan setakat ini.
“Saya tidak nampak sebarang masalah ketika ini. Pas masih bersama kita. Semuanya berjalan dengan lancar,” katanya selepas Program Kacau Dodol bersama Puteri BN di Beranang hari ini.
“Tetapi yang saya boleh cakap, Pas masih lagi bekerja dengan UMNO, BN. Tidak ada sebarang masalah,” kata Hanafi.
Semalam kecoh apabila Mahathir membuat pendedahan Pas tidak akan menyokong UMNO dalam PRK Semenyih berdasarkan pertemuannya Hadi Awang kelmarin.
Kata beliau, malah terdapat pengakuan secara bertulis kononnya Pas tidak akan menyokong UMNO.
Dakwa Mahathir lagi, Pas tidak lagi menyokong UMNO kerana pada PRK kali ini tidak ada calon dalam kalangan DAP.
Katanya, pimpinan Pas berkenaan menyerahkan sepucuk surat contoh yang ditandatangani oleh Takiyuddin sebagai pengakuan tersebut.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: