Home Nasional Calon PH akui sedikit ‘tergugat’ dengan aura Najib

Calon PH akui sedikit ‘tergugat’ dengan aura Najib

Muhammad Aiman Zainali. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2019
Muhammad Aiman Zainali. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Muhammad Aiman Zainali, 30, mengakui kehadiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak beberapa kali ke pekan Semenyih memberi sedikit tekanan kepadanya.

Namun, penerimaan setiap pengundi yang ditemui sepanjang berkempen memberi semangat kepadanya untuk terus kental dalam perjuangan, kata calon Pakatan Harapan itu.

“Yang itu ada sedikit sebanyak apabila saya datang dan bersalaman nampak penerimaan rapatkan silaturahim antara rakyat-rakyat,” katanya ketika ditemui selepas melakukan walkabout di medan selera Pertubuhan Peladang kawasan Beranang di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kehadiran Ahli Parlimen Pekan sebelum ini ke pekan Semenyih yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.

Najib sebelum ini turun ke pasaraya besar Tesco di sini dan kehadirannya disambut kira-kira 1,000 orang.

Menerusi status di Facebooknya Najib melahirkan kehairanan apabila beliau menyatakan mendapat sambutan luar biasa penduduk di kawasan itu sedangkan kedatangannya ke pasar raya besar berkenaan adalah untuk membeli barangan dapur.

Malah, perkara sama turut berlaku apabila beliau hadir ke satu program bersama calon Barisan Nasional (BN) di Bandar Tasik Kesuma semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Aiman berkata, beliau bersyukur kerana sepanjang tiga hari berkempen tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berharap agar situasi seperti itu akan berlarutan sehingga tiba hari membuang nanti.

“Tiada gangguan dan ok. Kita buat apa untuk rakyat dan saya harap ia akan berkekalan sampai akhir nanti

“Rakyat Semenyih semua baik-baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette