KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menyifatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2018 pada kadar 4.7 peratus sebagai kukuh disebalik persekitaran mencabar, dan pertumbuhan ekonomi kukuh itu dijangka berterusan pada 2019.
Beliau berkata, pertumbuhan antara empat dan enam peratus pada 2019 kekal positif di sebalik situasi ekonomi semasa.
“Bagi unjuran tahun ini, ia sepatutnya baik walaupun bukan lebih baik dan ini akan dibentangkan oleh semua firma pelaburan, serta yang rasmi oleh bank pusat dan Kementerian Kewangan,” katanya kepada pemberita di luar acara majlis Ulang Tahun Ke-10 Forum Pelaburan Nomura Islamic Asset Management, di sini, hari ini.
BNM, pada minggu lepas, melaporkan ekonomi Malaysia, yang diukur menerusi KDNK, mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus pada suku keempat daripada tahun sebelumnya, menjadikan pertumbuhan KDNK bagi tahun penuh 2018 kepada 4.7 peratus.
Bank pusat itu berkata, aktiviti sektor swasta kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang utama, manakala peningkatan semula dalam eksport barangan dan perkhidmatan menyumbang kepada pertumbuhan eksport bersih.
BNM dijangka mengumumkan prospek ekonomi Malaysia 2019 bulan depan.
Zeti, yang juga pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata walaupun pakar ekonomi dan firma penyelidikan mengunjurkan pertumbuhan KDNK lebih rendah tahun ini, dividen PNB tidak akan terjejas oleh kemungkinan ekonomi lebih perlahan, dipacu oleh dana pelaburan pelbagai portfolio.
“Pelaburan adalah mengenai kepelbagaian. Jika anda belajar untuk pelbagaikan, apabila satu pasaran tidak mencapai prestasi, lainnya akan mencapainya.
“Ia bertujuan untuk mencapai pulangan mampan dan saya mempunyai keyakinan penuh terhadap pasukan PNB yang mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai pulangan mampan,” katanya.
Berhubung penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), yang beliau antara anggotanya, Zeti menyifatkannya sebagai peluang besar untuk merancakkan semula ekonomi.
Ditanya tentang topik utama akan dibincangkan pada mesyuarat pertama EAC, beliau berkata, “Saya mahu menyimpannya sehingga mesyuarat bermula dalam beberapa minggu lagi. Ia tidak lama lagi”.
Pada 11 Feb, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan 16 anggota EAC yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anggotanya termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking, Menteri Kerja Raya Baru Bian, dan Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid.
Lainnya bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, Zeti, anggota Majlis Penasihat Kerajaan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, Pengarah Urusan Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek, dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Dr Hasnita Hashim. — BERNAMA