Wednesday, November 27, 2024
Home Sukan Pengurusan Perlis tiada hati perut – Safee Sali

Pengurusan Perlis tiada hati perut – Safee Sali

Safee Sali

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang sensasi kebangsaan, Safee Sali akhirbya meninggalkan Perlis selepas pasukan itu dibelenggu masalah gagal membayar gaji sejak tiga bulan lalu.

Menerusi status Facebooknya hari ini, Safee membuat keputusan untuk tidak lagi bersama Perlis selepas mendapati pihak pengurusan gagal memainkan peranan dengan baik.

Katanya, keputusan itu juga bertujuan memberi pengajaran kepada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan berhati perut.

“Segala yang saya curahkan dengan ikhlas memang tidak ada maknanya bagi pihak pengurusan. Pemain dan barisan kejurulatihan sudah bagi yang terbaik sama ada dalam latihan mahupun dalam perlawanan.

“Sayang memang sayang tapi keputusan saya tekad demi memberi pengajaran kepada pengurusan yang tidak berperikemanusiaan dan tiada berhati perut.

“Sudah banyak pengorbanan pihak jurulatih dan pemain lakukan… Mungkin ini jalan yg terbaik buat masa sekarang. Kita hanya boleh merancang tapi memang pasti Allah SWT yang tentukan segalanya.. Selamat tinggal kuning biru, terima kasih banyak, atas semua kenangan,” tulisnya.

Perkembangan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada PFA yang masih gagal melunaskan gaji para pemain dan barisan kejurulatihan sejak Disember lalu.

Semalam, jurulatih bawah 17 tahun Perlis, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengumumkan peletakan jawatan atas faktor tidak tahan dengan sikap PFA yang sehingga kini masih gagal melunaskan gaji.

Perkembangan tersebut menyaksikan masa depan Perlis untuk melakar kejayaan dalam Liga Perdana musim ini semakin gelap selepas gagal menyelesaikan gaji pemain dan barisan kejurulatihan sejak Disember lalu. – MalaysiaGazette