Home Nasional Siasatan pihak berkuasa Switzerland tidak penting –Justo

Siasatan pihak berkuasa Switzerland tidak penting –Justo

Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo (kanan) meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2018.
Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo (kanan) meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Walaupun sedang disiasat oleh pihak berkuasa Switzerland berhubung dakwaan pengintipan ekonomi atau ‘economic espionage’, bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo tetap tenang.

Bercakap kepada portal FMT tadi, Justo menyifatkan isu ini ‘terpencil’ dan perkara kecil yang tidak menarik dan tidak penting.

“Ia adalah proses pentadbiran, tidak penting atau menarik,” katanya kepada FMT.

Justo merupakan antara individu utama dalam pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disahkan sedang di siasat pihak berkuasa ketika ini.

Menurut laman berita Swissinfo, Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) mengesahkan siasatan terhadap Justo mengikut Artikel 273 Kanun Keseksaan negara itu berkaitan dakwaan pengintipan ekonomi.

OAG juga mengesahkan Menteri Undang-Undang Switzerland Simonetta Sommaruga telah mengarahkan pendakwaan terhadap Justo September lalu.

Justo didapati telah mencuri data daripada bekas majikannya, PetroSaudi International dan cuba menjualnya.

Data tersebut menjadi pemula kepada pendedahan penyelewengan dana 1MDB di sebalik urus niaga dengan Petrosaudi.

Lelaki itu juga pernah dijatuhkan hukuman penjara di Thailand selepas didakwa mengugut Petrosaudi untuk mendedahkan data-data tersebut.

Malah, Justo juga pernah menerima sagu hati daripada Pengerusi The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong awal Januari lepas berikutan ‘jasa’ pendedahan dilakukan olehnya kepada kerajaan Malaysia.

Menurut portal The Edge Markets, bekas pegawai PetroSaudi International Ltd. itu menerima wang berjumlah RM8.2 juta (AS$2 juta) atas bantuannya mendedahkan salah laku dalam skandal tersebut.

Dalam apda itu, ketika menulis dalam laman sosial Facebooknya, Justo masih mempertahankan tindakan beliau sambil mengatakan dirinya tidak bersalah.

“Apa yang mereka lakukan bukannya menyaman kami kerana fitnah, sebaliknya mereka memfailkan aduan terhadap kami atas pengintipan perindustrian,” tegasnya dalam Facebook. –MalaysiaGazette