Home Politik Usah cemburu hubungan UMNO-Pas

Usah cemburu hubungan UMNO-Pas

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad gagal mencetuskan kesangsian orang ramai terhadap kerjasama UMNO dan Pas yang ternyata mendapat sokongan besar majoriti umat Islam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatua Malaysia (PPBM) itu memang pakar mengalih masalah dalaman Pakatan Harapan (PH) yang kronik dengan menjadikan Pas dan UMNO sebagai kambing hitamnya.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Pas kerana mengeluarkan kenyataan rasmi untuk terus membantu Barisan Nasional (BN) dalam PRK Semenyih.

“Kenyataan ini sekali gus menggagalkan usaha Dr. Mahathir yang cuba mencetuskan kesangsian terhadap kerjasama kami,” katanya dalam ciapan Instagram beliau hari ini.

Jelas beliau, PH kini berdepan dengan konflik politik yang agak kronik, lebih lagi ketidakmunculan beberapa pemimpin utama parti komponen PH pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

Kata Dr. Asyraf, ramai tertanya-tanya di mana pimpinan utama DAP dan PKR selain Lim Guan Eng dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di hari penamaan calon PPBM kelmarin?

“Ramai maklum keyakinan DAP terhadap keikhlasan PPBM semakin tercabar. Bukan sahaja penglibatan yang amat minimum kepimpinan PPBM waktu PRK Cameron Highlands baru-baru ini menyebabkan DAP kalah besar.

“Malah, strategi Dr. Mahathir menerima ‘sampah-sampah UMNO’ (istilah yang digunakan pimpinan DAP merujuk Ahli-ahli Parlimen UMNO yang lompat parti) ke dalam PPBM menambahkan lagi kemarahan DAP.

“Apakah kurangnya bilangan pimpinan DAP kelmarin petanda sabotaj awal parti itu terhadap calon PPBM?” ujarnya.

Beliau menjelaskan, masalah integriti dan kredibiliti pimpinan PPBM dalam kabinet seperti sijil akademik palsu juga mula menjadi bebanan kepada PH.

Ini katanya, tidak termasuk tindakan Dr. Mahathir mengisytiharkan kemasukan PPBM ke Sabah yang sekali gus menambah lagi siri helah muslihatnya terhadap perjanjian asal dengan PH termasuk parti Warisan Sabah.

Beliau menyatakan, PKR juga menerima kesan besar strategi pecah perintah Dr. Mahathir sehinggakan semakin lama semakin terserlah cakap-cakap yang mengatakan Perdana Menteri itu sekali lagi akan memungkiri janjinya untuk tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan.

“Terbaru, walaupun Anwar merupakan menteri kewangan yang bertanggungjawab sewaktu Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) awal 1998 dulu, nama beliau langsung tidak dipilih keanggotaannya kali ini.

“Sebaliknya, pencabar utama Anwar, iaitu Mohamed Azmin terus diberikan pelbagai amanah penting termasuk mempengerusikan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan.

“Kepada pejuang UMNO dan Pas di semua peringkat, jangan sesekali hilang fokus, walaupun belum ada kesepakatan rasmi antara keduanya, namun kerjasama yang terjalin kini amat didambakan oleh rakyat,” katanya.

Menurut beliau, UMNO akan terus kukuhkan persefahaman dan kerjasama dengan Pas atas dasar Islam serta penyatuan ummah. – MalaysiaGazette