Home Nasional Wakil rakyat, tolong celik isu tanah mendap di Taman Bersatu Rawang

Wakil rakyat, tolong celik isu tanah mendap di Taman Bersatu Rawang

Penduduk Taman Bersatu, RAwang menunjukkan rekahan akibat tanah mendap dan runtuh di rumah mereka.

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat dan kerajaan negeri Selangor didesak supaya tidak berterusan ‘menutup mata dan telinga’ berhubung masalah tanah mendap serta runtuh di Taman Bersatu, Rawang untuk sekian lama.

Timbalan Ketua Pemuda Bahagian Selayang, Prasad Sandrasegran ketika menghubungi MalaysiaGazette berkata, beliau cukup terkilan dengan sikap tidak endah wakil rakyat serta pihak berkepentingan dalam menangani isu tersebut.

Jelas Prasad, masalah itu sudah wujud sejak 2011 lagi dan sudah berpucuk-pucuk surat aduan oleh penduduk setempat selain MIC sendiri namun mendapat reaksi negatif.

“Sebenarnya, kita terpanggil untuk bercakap tentang isu ini yang bukan baharu malah untuk sekian lama kita merayu, berteriak memohon agar masalah tanah mendap sehingga berlakunya runtuhan berdekatan sebuah sungai di Taman Bersatu sejak 2011.

“Tanah runtuh ini sekaligus menyebabkan hampir rata-rata rumah di kawasan ini menjadi mendap dan terpecah, sekali gus merosakkan struktur kediaman berkenaan. Ada juga rumah yang telah runtuh ke tanah sebelum ini.

“Selain daripada kerosakan, kita sedang lihat aspek keselamatan. Janganlah asyik cakap pihak berwajib sedang lihat apa yang perlu dan boleh dilakukan sebaliknya tidak ada sebarang tindakan lanjut. Kasihanlah kepada mereka sedikit.

“Saya sempat ke situ beberapa hari lepas, apa yang mengejutkan saya apabila dihampiri penduduk setempat dengan mengatakan rumah mereka retak atau hampir runtuh. Ini sangat menyedihkan dan juga menakutkan.

“Adakah pihak berkuasa hanya akan bertindak selepas sesuatu tragedi menimpa selepas ini? Adakah begitu? Mengapakah keluhan mereka ini tidak endahkan, tolong fikir tentang keselamatan mereka sedikit,” katanya sebentar tadi.

Prasad

Jelas Prasad lagi, beliau tidak mahu menuding jari kepada kerajaan atau agensi yang dipertanggungjawabkan seperti Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) jika ini adalah kali pertama dan masih baharu.

Malah katanya, wakil rakyat seperti Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rawang, Chua Wei Kiat juga seperti tidak kisah langsung dengan keperitan ditanggung oleh warga kawasan mereka.

Dakwa Prasad, penduduk setempat sendiri seolah-olah sudah hilang keyakinan dengan tindak tanduk yang ditonjolkan oleh mereka.

“Bayangkan, isu ini sudah berapa lama? Mengapa langsung tidak ada sebarang keprihatinan dari mana-mana pihak sebenarnya? Apa lagi yang hendak anda tunggu lagi?

“Wakil rakyat  menyepi begitu sahaja, tidak layan dan tidak kisah. Saya tidak begitu terkejut sikap yang ditonjolkan oleh William Leong kerana sebelum ini beliau sendiri tampil setelah menang kerusi Selayang dengan undi daripada rakyat mahu diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mohon sangat-sangat kepada semua pihak berwajib supaya fokus dan beri perhatian kepada isu ini, jangan asyik cakap kami main politik. Kami kini pembangkang, tugas kami adalah menunjukan reality sebenar, anda perlu kerja keras.

“Jika tidak, rakyat tidak akan teragak-agak ‘tumbangkan’ kamu, fikir demi rakyat dan untuk rakyat,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Bersatu2