Home Ekonomi IKEA Batu Kawan menghitung hari dibuka

IKEA Batu Kawan menghitung hari dibuka

Gedung IKEA Batu Kawan akan dibuka pada 14 Mac ini.

BATU KAWAN – Pengendali pusat beli belah barangan kelengkapan rumah terkemuka, IKEA kini dalam fasa terakhir bagi penyediaan operasi, produk barangan dan kelengkapan dalaman sebelum membuka gedung keempatnya di Batu Kawan di sini pada 14 Mac ini.

Gedung tersebut selepas cawangan Damansara, Cheras dan Johor Bharu.

Pusat yang menjadi antara satu-satunya gedung IKEA di wilayah utara itu menampilkan gaya baharu berkonsepkan ‘kehidupan di rumah’ dengan menawarkan lebih 8,000 produk.

Pengurusnya, A Pathmalingam, berkata seramai 50,000 pelanggan dijangka mengunjungi gedung beli belah terbaharu itu pada setiap minggu apabila ia dibuka kelak.

“Dalam tempoh tidak sampai sebulan ini, kita akan menyaksikan pembukaan rasmi IKEA Batu Kawan dan kini seramai 300 rakan sekerja di IKEA sedang bertungkus lumus membuat persiapan terbaik bagi merealisasikan visi dalam mencipta kehidupan harian yang lebih baik untuk orang ramai.

“Apatah lagi, pembukaan gedung IKEA di Pulau Pinang amat dinanti-nantikan apabila kesemua barangan dan produk yang ada di sini berada di bawah satu bumbung yang memberi kemudahan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pra pembukaan eksklusif IKEA di baru-baru ini.

Jelas Pathmalingam, gedung IKEA di Damansara Utama, Kuala Lumpur dikunjungi 100,000 pelanggan pada setiap minggu dan daripada jumlah itu lapan peratus adalah pelanggan dari Pulau Pinang.

Dilengkapi 49 buah ruang pameran merentasi 470,135 kaki persegi, gedung terbaharu itu memberikan sentuhan tempatan dari segi penyelesaian kelengkapan rumah yang sepadan dengan ruang kehidupan penduduk di wilayah utara.

Sementara itu, Pathmalingam berkata, pelanggan juga boleh mendapatkan barangan yang diingini menerusi pembelian dalam talian IKEA yang sudah dilancarkan sejak Oktober tahun lalu.

“Walaupun begitu, kami ingin memberi keselesaan kepada pelanggan dengan memberi pengalaman membeli belah di gedung ini.”

IKEA Batu Kawan yang terletak di lokasi strategik turut memuatkan restoran dengan kapasiti 756 tempat duduk, 1,950 parkir serta bakeri. – MalaysiaGazette