KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menafikan sebarang penglibatan beliau berhubung kenyataan Setiausaha Akhbarnya, Lim Swee Kuan yang berbaur ‘ugutan’ terhadap stesen penyiaran Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM).
Bagaimanapun, dalam masa yang sama beliau melahirkan rasa hairan mengapa ada sedutan tidak disiarkan dalam siaran langsung itu.
“Ini bukan soal sekatan kebebasan media. Isu sebenar adalah sedutan yang tidak disiarkan sedangkan sepatutnya disiarkan. Kita bukan hadkan kebebasan media.
“Saya biarkan Gobind siasat isu ini sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Menara Sentral RAC hari ini.
Mengulas lanjut mengenai hantaran setiausaha akhbarnya di laman Facebook yang mendakwa RTM sabotaj kerajaan Persekutuan, beliau menyifatkan perkara itu sebagai pandangan peribadi Swee Kuan.
“Saya tidak terlibat dalam memberi apa-apa arahan kepada setiausaha saya untuk keluarkan kenyataan seumpama itu. Saya tidak bagi arahan.
“Itu adalah pandangan peribadi beliau dan saya tiada kaitan. Saya tidak berniat untuk panjangkan isu ini sebaliknya sudah serahkan kepada Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk ambil tindakan.
“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak pernah keluar arahan kepada setiausaha keluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara ini,” katanya.
Kelmarin Swee Kuan memuatnaik hantaran di laman Facebooknya menyentuh tentang liputan langsung TV1 bagi Sambutan Tahun Baharu Cina Pakatan Harapan.
Sambutan di Dataran Centrio Seremban II itu dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, , timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selain menteri-menteri Kabinet lain termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Bagaimanapun, Swee Kuan mendakwa tidak ada langsung liputan ucapan Menteri Besar selain sebarang liputan bosnya, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban.
Dakwa Swee Kuan lagi, tindakan itu sebenarnya seolah-olah RTM sengaja mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara terbuka dan perlu berhadapan dengan tindakan tegas.
Dalam pada itu, malam tadi Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dalam ciapan di laman sosial Twitternya berkata, tindakan Swee Kuan sebenarnya mencerminkan keangkuhan.
Kata Latheefa, sepatutnya tidak ada sebarang peraturan bahawa setiap ucapan ahli politik kerajaan perlu mendapat siaran langsung.
Malah, kata pemimpin PKR itu, tindakan Swee Kuan itu seolah-olah memberi gambaran bagaimana media yang dikuasai oleh kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN) diperlakukan seperti sebelum ini.
Gobind ketika diminta mengulas isu tersebut semalam berkata, beliau telah mengarahkan RTM menyediakan laporan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: Menteri arah RTM sedia laporan dakwaan sabotaj kerajaan
Angkuh sungguh kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan