Home Sukan Nicol David umum persaraan

Nicol David umum persaraan

Nicol David
Nicol David

KUALA  LUMPUR – Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang juga juara dunia lapan kali mengumumkan persaraan selepas 27 tahun berkecimpung dalam sukan itu.

Nicol yang mencecah 36 tahun pada Ogos ini akan menamatkan kariernya sebaik berakhirnya musim Jelajah PSA 2018 pada 19 Jun ini.

“Ini adalah saat di mana setiap atlet perlu melalui dan menceburi apa yang boleh dilakukan. Saya kini berada di tahap di mana saya bersedia untuk melakukan lebih daripada jelajah profesional.

“Keputusan ini sudah lama saya fikirkan untuk beberapa waktu dan saya sedar ini adalah musim terakhir saya.

“Fikiran dan badan telah bertarung untuk terus kekal berada di puncak permainan buat masa yang lama, yang membuatkan saya rasa ini adalah musim terakhir saya untuk melakukan sehabis baik sebelum saya melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Nicol yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang bermain skuasy seawal lima tahun dan memulakan karier sebagai pemain pada 1992 apabila merangkul pingat perak dalam Kejohanan Remaja Pulau Pinang.

Beliau merangkul gelaran dunia pertama tujuh tahun kemudian pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium ketika berusia 15 tahun.

Kejayaannya itu meletakkan dirinya sebagai juara remaja dunia wanita termuda dalam sejarah dan kemudiannya menjulang gelaran dunia pada 2005 sekali gus meletakkannya pada kedudukan pertama dunia buat kali pertama pada Januari 2006 ketika berusia 23 tahun dan rakyat Malaysia dan Asia pertama berada di kedudukan nombor satu dunia.

Selama 112 bulan berada pada kedudukan pertama dunia, Nicol yang dikenali dengan panggilan Duracell Bunny disebabkan kelincahan pemain berfizikal kecil itu bagaimanapun menghadapi kesukaran mengekalkan prestasi sejak kebelakangan ini.

Kemuncaknya apabila tersingkir daripada kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama tahun lalu apabila berdepan saingan pemain lebih muda.

Biarpun mengumumkan persaraan, Nicol memberitahu beliau mahu memberi sesuatu semula kepada sukan disayanginya itu serta mahu bekerjasama dengan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dalam meningkatkan kesedaran serta menubuhkan pasukan sokongan bagi atlet skuasy profesional meneruskan saingan dalam jelajah disertai.

Berpusat di Amsterdam, Belanda di bawah bimbingan Liz Irving, Nicol juga mahu memberi tumpuan kepada Yayasan Nicol David bagi membantu generasi muda negara ini terutamanya wanita untuk mencapai potensi tertinggi serta berkongsi kisah perjalannya menerusi ceramah.

“Pada beberapa bulan akan datang sehinggalah berakhirnya musim Jun ini, saya akan berkongsi kempen ‘Impian masih kekal’, semua yang saya peroleh daripada skuasy dalam hidup saya.

“Saya mahu menikmati beberapa kejohanan terakhir bersama dengan semua orang menerusi kempen ini dengan harapan memberikan semua peluang untuk memperoleh impian sendiri untuk maju seperti mana saya lakukan untuk terus berjuang,” katanya.

Nicol yang kini berada di ranking 21 dunia, akan bertanding pada Kejohanan Dunia di Chicago pada 23 Februari hingga 2 Mac ini dengan beliau diletakkan sebagai pemain pilihan ke-13 dan kemudiannya berjanji akan bertemu media pada 27 Mac ini di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette