Home Nasional Azmin Ali jangan melampau – Najib

Azmin Ali jangan melampau – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan Bekas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kg Bukit Kepong, Abd Rahim Aziz (kanan) pada Program Ziarah Kasih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Kampung Bukit Kepong, Beranang. foto SYAFIQ AMBAK, 20 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Perang mulut antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bagaikan tiada kesudahan.

Terbaharu, Najib menempelak kenyataan Timbalan Presiden PKR itu yang menyebut mengenai almarhum ayahandanya, Tun Abdul Razak.

Menurut Najib, Azmin sudah melampaui batas apabila membuat kenyataan membabitkan Allahyarham bapanya.

“Saya fikir tak payahlah Azmin melampau hingga menyentuh tentang keluarga saya.

“Ayah saya sudah meninggal lebih 43 tahun dahulu. Jangan diusik lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih itu, Azmin berkata, Tun Razak boleh bangun daripada kubur kerana kecewa dengan Najib yang bertindak mengswastakan Felda.

“Datang anak dia (Najib), pergi swastakan Felda. Kalau Almarhum Tun Razak boleh bangun (dari kubur) dia cekik anak dia,” kata Azmin dalam ceramah Isu Semasa di Kampung Rinching Hilir, Semenyih, Isnin lau.

Bagaimanapun, Najib berkata, beliau bimbang Azmin yang menjadi Felda tidak faham isu agensi itu.

Najib berkata, Felda tidak pernah diswastakan kerana Felda dan Felda Global Ventures (FGV) adalah dua entiti yang berbeza saman sekali.

“FELDA tetap FELDA. Tanah FELDA dan tanah peneroka tetap tanah mereka. FGV ialah anak syarikat FELDA. FGV bukan FELDA atau sebaliknya.

“Cuma FELDA ada perjanjian untuk menyewa sebahagian tanah mereka kepada FGV. Perjanjian ini dipanggil “Land Lease Agreement“, kata Najib.

FGV kena bayar FELDA RM250 juta setiap tahun serta 15 peratus daripada  keuntungan tahunan FGV untuk menyewa tanah ini.

“Oleh itu, FELDA bukan diswastakan. Takkan Azmin tak faham ini? Takkan sudah lebih 9 bulan tak tahu fakta ini?

“…dia kata harga saham FGV disenaraikan pada harga RM4.70 dan jatuh kepada 30 dan 40 sen sahaja. Salah lagi, Azmin.

“Harga saham FGV disenaraikan pada harga RM4.55 pada tahun 2012. Apabila FGV disenaraikan, FELDA untung RM6 bilion tunai,” jelasnya.

Durian runtuh ini telah diberikan serta-merta kepada koperasi Felda dan terus kepada peneorka-peneroka.

Bakinya disimpan untuk pelaburan dan juga untuk dipinjamkan kepada peneroka-peneroka bagi penanaman semula, pembangunan rumah peneroka dan pendidikan anak-anak peneroka.

Selepas disenaraikan pada harga RM4.55, harga FGV pernah juga naik 20 peratus kepada RM5.46 dan ramai juga yang jual dan untung masa itu.

Tetapi selepas harga sawit dunia dan fenomena kemarau El Nino melanda, harga saham FGV juga menurun 57 peratus dari harga disenarai RM4.55 sehingga RM2.00 sebelum PRU14.

Selepas PH ambil alih selepas PRU14 dan berada di tangan Azmin, harga saham FGV jatuh 69 peratus dari RM2.00 sehingga 64 sen pada akhir tahun 2018.

“Azmin juga kata hutang FELDA ialah RM8 bilion. Dia kata PH tidak jangka Felda boleh menghadapi hutang yang begitu besar.

“Tetapi dia tidak sebut bahawa jumlah aset FELDA melebihi RM20 bilion.

“Apa yang dia juga tidak sebut ialah kebanyakan hutang ini ialah kerana ianya dipinjamkan kepada peneroka-peneroka sendiri di dalam bentuk pinjaman penanaman semula, perumahan dan pendidikan anak FELDA.

“Ertikata lain ialah FELDA meminjam supaya boleh pinjamkan kembali kepada peneroka-peneroka,” jelas Najib.  -MalaysiaGazette

‘Tun Razak kalau boleh bangun, dia cekik Najib’