KUALA LUMPURĀ – Bank-bank tempatan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melelong kenderaan dan hartanah di bawah harga pasaran tanpa kebenaran peminjam.
Bagaimanapun, Presiden Mahkamah Timbang Tara (MATE), Tan Sri Prof Dr Muslim Yacob berkata, tindakan sukar diambil terhadap bank kerana mereka menggunakan perjanjian jual beli untuk menghalalkan salah laku rasuah itu.
“Budak baru keluar universiti beli kereta pun boleh kena bankrap pasal tak bayar hutang tiga bulan, kemudian kereta dilelong, bila tak ditebus, kereta dilelong dengan harga bawah harga pasaran.
“Ini temasuklah rumah, tanah mahupun kenderaan, bank akan lelong pada harga bawah pasaran dan lelong dalam keadaan tergesa-gesa.
“Pegawai-pegawai bank pula main kayu tiga iaitu mereka sudah atur orang untuk membeli, ini boleh dianggap rasuah, tapi SPRM mungkin tak dapat lihat perkara ini sebab tak ada orang mengadu.
“Bank buat kerja salah tak nampak, tapi orang lain berhutang dengan dia, lambat bayar atau membuat cadangan-cadangan untuk membayar, cara yang lebih baik, bank tidak akan terima dan tak pernah terima,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Biro Pengaduan Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (PPPPM), di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden Biro Pengaduan Awam 4PM, Rosland Mohd Arif.
Muslim juga melahirkan kekesalan apabila ramai peminjam muflis disebabkan sikapĀ bank yang enggan melayani sebarang rayuan peminjam bagi hutang yang bermasalah.
“Bank tidak ambil pusing tentang aduan-aduan rakyat, mereka tetap dengan undang-undang sendiri, bukan undang-undang yang ada dalam Akta Parlimen, mereka tak pakai, mereka pakai undang-undang sendiri.
“Undang-undang sendiri lebih kepada perjanjian, apa juga surat perjanjian yang kita tandatangan, itulah dikatakan undang-undang mereka yang bank pakai.
“Bank jangan menyalahkan saya atau menyalahkan rakyat, atau pengguna atau peminjam dalam hal ini, salah diri mereka dia kena cermin diri sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette