LONDON – Pelakon kelahiran Malaysia yang popular di Hollywood, Henry Golding kini dikaitkan dengan spekulasi bakal membintangi filem James Bond.
Henry yang berdarah kacukan Inggeris-Iban itu dikhabarkan akan menggantikan watak utama yang dipegang Daniel Craig, 50, selepas kontraknya tamat mnejadi perisik kasanova.
Bagaimanapun, Henry, 32, mengambil jalan selamat apabila dia enggan mengulas mengenai spekulasi itu.
“Saya tidak mahu mengulas apa-apa mengenai hal itu,” katanya seperti yang dilaporkan Daily Mail.
Sekiranya berita itu benar, aktor tampan itu akan mengulangi sejarah yang dicipta oleh aktres Michelle Yeoh yang pernah berlakon sebagai gadis Bond dalam siri Tomorrow Never Dies.
Henry mencipta nama di Hollywood selepas filem lakonannya, Crazy Rich Asians mencetus fenomena di seluruh dunia pada 2018. – MalaysiaGazette