KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau bukan Perdana Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Kewangan atau Menteri Pertahanan semasa berlakunya urus niaga pertukaran milik tanah (land swap) Kementerian Pertahanan yang dianggarkan melebihi RM500 juta pada tahun 1997.
Menurut beliau, Perdana Menteri ketika itu adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pula adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Perdana Menteri itu bersyukur kerana laporan yang mengambil masa lapan bulan itu membuktikan Tan Sri Rafidah Aziz telah memfitnahnya.
Pada tahun lalu, Rafidah telah mendakwa sebuah syarikat milik tiga individu kini memiliki setiap inci tanah Kementerian Pertahanan.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga mendakwa Najib turut mencadangkan penswastaan itu diberi secara terus kepada satu syarikat milik tiga individu yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, dengan tempoh pajakan selama 40 tahun, tanpa tender terbuka atau meminta sebut harga.
Namun, dakwaan itu dinafikan oleh bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dalam mempertahankan dakwaan itu, Rafidah telah bersumpah dengan nama Allah dan meminta Hishammuddin tidak menafikannya, malah turut mencabar kerajaan mendedahkan kertas putih mengenai tanah seluas 40,000 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan itu.
Najib berkata, fitnah tersebut telah digunakan untuk menaikkan kemarahan undi tentera sebelum PRU14 adalah sangat keji kerana nama Allah telah digunakan untuk melemparkan tuduhan ini.
Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang memberitahu Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendapati anggaran kerugian sepanjang urus niaga pertukaran milik tanah (land swap) Kementerian Pertahanan melebihi RM500 juta.
JKSTUPKK memaklumkan, kebanyakan projek pertukaran hak milik tanah sebelum ini tidak dirancang dengan teliti manakala pemilihan syarikat pemaju pula tidak dilaksanakan mengikut proses due diligence yang komprehensif.
Selain itu, terdapat juga campur tangan politik dalam pemilihan lokasi pertukaran tanah tersebut.
Hasil siasatan JKTUPKK yang telah dibentangkan pada 28 Januari 2019 mendapati terdapat 16 projek pertukaran tanah melibatkan 2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai sebanyak RM4.756 bilion dan melibatkan kos projek sebanyak RM4.886 bilion.
Bagaimanapun, kata Najib, anggaran kerugian RM500 juta di dalam tempoh 21 tahun dari 1997 sehingga 2018 yang melibatkan 10.5 peratus daripada nilai tanah RM4.75 bilion adalah subjektif kerana anggaran nilai tanah berubah-ubah pada setiap masa.
Beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Projek Terowong Pulau Pinang yang juga menggunakan kaedah bayaran urus niaga tukar tanah (land swap) yang bernilai RM6.34 bilion.
Katanya, jumlah itu jauh lebih tinggi daripada 16 projek Kementerian Pertahanan dengan nilai tanah RM4.75 bilion yang diragui.
Projek Terowong ini dianugerahkan pada tahun 2013 dan nilai tanah untuk ditukar juga dipersetujui pada tahun tersebut.
“Setelah 6 tahun, kita mendapati sebarang pembinaan untuk projek ini masih belum bermula lagi dan jelas telah lewat.
“Adakah nilai tanah ini di tepi pantai di kawasan paling bernilai di Pulau Pinang iaitu di Gurney Drive tidak pernah meningkat sejak dipersetujui 6 tahun dahulu?,” soal beliau.
Najib juga meminta Rafidah menekan JKSTUPKK dan Menteri Kewangan untuk menyiasat jika berlakunya kerugian atau ketirisan hasil kerajaan dalam projek terowong tersebut.
“Jika mahu petik nama Allah lagi atau tidak kali ini, terpulanglah kepada Tan Sri Rafidah,” ujarnya. – MalaysiaGazette