KUALA LUMPUR – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong atas sumbangan besar baginda selaku anggota majlis eksekutif badan induk bola sepak dunia itu di antara 2015 hingga 24 Januari lalu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada tuanku atas perkhidmatan cemerlang serta tidak ternilai kepada FIFA dan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha tuanku dalam mempromosikan bola sepak, melindungi integritinya serta menyebar luas sukan itu kepada semua selain membangunkan institusi yang lebih kukuh di negara tuanku, rantau dan dunia,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam satu kenyataan.
Infatino mendedahkan Seri Paduka Baginda terlibat sebagai anggota jawatankuasa dalam pelbagai kejohanan yang disokong FIFA sejak 1994.
Sultan Abdullah juga terlibat dalam Jawatankuasa Etika (1999-2002); Jawatankuasa Penganjur Piala Konfederasi FIFA (2002-2007); Jawatankuasa Bola Sepak (2012-2017); Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia FIFA; Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia FIFA B-20 dan Jawatankuasa Persatuan Anggota (2015-2017).
“Menerusi pembabitan dalam dunia bola sepak selama lebih 25 tahun, tuanku memberi sumbangan ketara kepada pembangunan bola sepak dan juga usaha promosi sukan ini serta nilainya di seluruh dunia,” kata Infantino lagi.
Dalam surat itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sultan Abdullah susulan pengisytiharan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Sultan Abdullah, 59, melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam satu istiadat di Istana Negara, 31 Januari lalu. – MalaysiaGazette