PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya
akan menunggu tempoh rayuan melibatkan rektor Akademi Seni
Budaya dan Warisan (Aswara), Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd. Rizon Juhari selesai di Mahkamah sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, sebarang tindakan tatatertib melibatkan salah laku pegawai kementerian perlu dibuat mengikut prosedur undang-undang.
“Kes melibatkan rektor Aswara tersebut ketika ini masih di peringkat rayuan dan keputusan belum diputuskan oleh Mahkamah Sesyen yang difailkan pada 9 Oktober 2018,” katanya dalam kenyataan.
Mohamaddin menyatakan demikian sebagai mengulas pelancaran petisyen dalam talian yang mendesak rektor Aswara ditamatkan perkhidmatan oleh Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan hari ini.
Mohamaddin menambah, kes rayuan melibatkan rektor Aswara itu ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.
“Ini adalah soal perundangan dan kita perlu melalui dan menghormati proses perundangan tersebut, dan buat masa ini tiada sebarang tindakan yang boleh diambil.
“Bagi menamat atau menggantung tugas penjawat awam terbabit bukanlah satu perkara mudah kerana semua penjawat awam tertakluk pada undang-undang perjawatan
“Perkara ini dirujuk mengikut Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] yang memperuntukkan bahawa tindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai yang disabitkan dengan prosiding jenayah dan bukannya prosiding sivil,” jelasnya.
Justeru Mohamaddin menggesa pihak berkaitan memahami syarat yang termaktub di dalam akta tersebut
“Negara kita punya perundangan yang jelas.
“Saya menggesa kumpulan-kumpulan yang merasa tidak berpuas hati diharap dapat menjadi rakyat Malaysia yang benar-benar memahami undang-undang sedia ada.
“Kes yang dibicara terhadap rektor Aswara ini jelas menunjukkan ia adalah kes sivil.dan bukan jenayah,” katanya.
Mohamaddin berkata, mereka yang tidak berpuashati dengan kes itu perlu merujuk peguam masing- masing untuk huraian lanjut akta terbabit. – MalaysiaGazette